Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Iran mendedahkan versi terkini dron bunuh diri Hadid-110 yang didakwa mampu terbang lebih laju, bergerak pada altitud lebih rendah serta lebih sukar dikesan sistem pertahanan udara, sekali gus memperkukuh strategi ketenteraan tidak simetrinya.
Outlook India melaporkan, dron yang diperkenalkan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) itu merupakan sebahagian daripada usaha Tehran memperluaskan keupayaan dron serangan sehala (one-way attack drones) bagi berdepan musuh yang memiliki teknologi ketenteraan lebih canggih.
Menurut laporan itu, penggunaan dron dan peluru berpandu berkeliaran (loitering munition) kini semakin memainkan peranan penting dalam peperangan moden, termasuk dalam konflik di Ukraine dan Asia Barat.
Sistem berkenaan dilihat mampu mengancam aset ketenteraan bernilai tinggi selain memaksa pihak lawan menggunakan peluru pemintas yang jauh lebih mahal untuk memusnahkan dron berkenaan.
Menurut Iran, Hadid-110 yang dinaik taraf menggunakan enjin jet, berbeza dengan siri dron Shahed yang kebanyakannya menggunakan enjin kipas konvensional.
Katanya, peningkatan tersebut membolehkan dron itu bergerak lebih pantas, terbang lebih rendah dan mengurangkan kebarangkalian dikesan radar.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan bebas mengenai dakwaan tersebut kerana Iran tidak mendedahkan spesifikasi teknikal terperinci termasuk jarak operasi, keupayaan peperangan elektronik serta tahap kebolehkesanan radar dron itu.
Peluru berpandu berkeliaran menggabungkan ciri dron dan peluru berpandu berpandu dalam satu platform.
Tidak seperti peluru berpandu biasa yang dilancarkan terus ke sasaran, sistem ini boleh kekal berada di ruang udara untuk mengesan atau mengesahkan sasaran sebelum melancarkan serangan.
Sesetengah sistem turut membolehkan sasaran dikemas kini selepas dilancarkan, sekali gus memberikan lebih fleksibiliti ketika operasi.
Walaupun membawa kepala peledak yang lebih kecil berbanding peluru berpandu balistik atau kruis, kos penghasilannya yang lebih rendah membolehkan ia digunakan dalam jumlah yang besar.
Konflik kebelakangan ini turut menunjukkan bahawa penggunaan dron secara beramai-ramai mampu memberi tekanan kepada sistem pertahanan udara moden kerana pihak pertahanan perlu bertindak balas terhadap pelbagai ancaman serentak.
Menurut laporan itu lagi, jika dakwaan Iran mengenai keupayaan baharu Hadid-110 terbukti benar, ia berpotensi mengurangkan tempoh masa yang dimiliki pengendali pertahanan udara untuk mengesan, mengenal pasti dan memintas ancaman yang datang.
Namun begitu, prestasi sebenar dron tersebut di medan perang masih belum dapat dipastikan kerana belum melalui penilaian bebas.
Dalam masa sama, Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (DoD) sebelum ini menganggap sistem dron tanpa pemandu sebagai antara cabaran terbesar kepada ketenteraan moden.
Agensi itu berpandangan operasi menentang dron kini memerlukan gabungan sistem radar, penderia elektro-optik, peperangan elektronik, teknologi tenaga terarah serta peluru pemintas, berbanding bergantung kepada sistem pertahanan peluru berpandu semata-mata.
Penganalisis turut melihat pembangunan Hadid-110 mencerminkan perubahan berterusan dalam doktrin pertahanan Iran yang memberi tumpuan kepada peperangan tidak simetri.
Daripada bersaing secara langsung dengan kuasa udara negara-negara besar, Tehran dilihat lebih banyak melabur dalam pembangunan dron, peluru berpandu balistik, peluru berpandu kruis dan rangkaian proksi bagi meningkatkan keupayaan ketenteraannya.
Sama ada Hadid-110 benar-benar memiliki keupayaan seperti didakwa hanya dapat dibuktikan melalui penggunaannya di medan perang.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan