Iran, Rusia Jalani Latihan Ketenteraan Di Laut Oman
Iran dan Rusia akan mengadakan latihan ketenteraan laut di Laut Oman pada Khamis, susulan pusingan terbaharu rundingan antara Tehran dan Washington di Geneva, lapor media Iran.
Memetik AFP, Pengawal Revolusi iaitu sayap ideologi angkatan tentera Iran turut melancarkan latihan di Selat Hormuz yang strategik pada Isnin.
Ia satu cabaran kepada tentera laut Amerika Syarikat (AS) yang dikerahkan di rantau itu.
“Latihan ketenteraan laut bersama Republik Islam Iran dan Rusia akan berlangsung esok (Khamis) di Laut Oman dan di bahagian utara Lautan Hindi.
“Tujuannya adalah untuk memperkukuh keselamatan maritim serta memperdalam hubungan antara angkatan laut kedua-dua negara,” lapor agensi ISNA, memetik jurucakap latihan, Laksamana Muda Hassan Maghsoudloo.
Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan mengenai tempoh latihan tersebut.
Latihan perang itu diadakan ketika Iran menzahirkan nada positif selepas pusingan kedua rundingan yang dimediasi Oman di Geneva pada Selasa.
Rundingan sebelum ini antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) gagal susulan serangan Israel yang belum pernah berlaku sebelum ini ke atas Iran pada Jun 2025, yang mencetuskan peperangan selama 12 hari dan turut disertai secara singkat oleh AS.
Presiden AS, Donald Trump, telah mengerahkan kekuatan tentera laut yang besar di rantau itu, yang disifatkannya sebagai sebuah armada.
Sementara itu, pegawai Iran berulang kali mengancam untuk menyekat Selat Hormuz, khususnya ketika ketegangan dengan AS memuncak, namun selat itu tidak pernah ditutup sepenuhnya.
Sebagai laluan utama bagi penghantaran global minyak dan gas asli cecair (LNG), Selat Hormuz telah menyaksikan beberapa insiden sebelum ini dan kembali menjadi tumpuan ketika tekanan meningkat susulan rundingan AS-Iran.
Iran pada Selasa mengumumkan bahawa ia akan menutup sebahagian selat itu selama beberapa jam atas alasan 'keselamatan' semasa menjalankan latihan ketenteraannya sendiri di kawasan berkenaan.

