Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Iran Umum Tutup Selat Hormuz Terhadap Kapal Sekutu Musuh
TEHRAN -- Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) pada hari Jumaat menyatakan bahawa Selat Hormuz kini ditutup dan semua kapal yang bergerak dari atau ke pelabuhan sekutu musuh Iran dilarang, lapor AFP.
Ia termasuk tiga buah kapal telah diusir ketika cuba melalui selat berkenaan.
"Pagi ini, susulan pembohongan presiden Amerika Syarikat yang korup yang mendakwa Selat Hormuz dibuka, dengan tiga buah kapal kontena telah diarah berpatah balik selepas amaran daripada Tentera Laut IRGC.
"Pergerakan mana-mana kapal 'ke dan dari' pelabuhan asal milik sekutu dan penyokong musuh Israel-Amerika, ke mana-mana destinasi dan melalui mana-mana koridor, adalah dilarang," kata pihak Pengawal melalui laman web berita Sepah News.
Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mendakwa 10 kapal tangki minyak yang dibenarkan Iran untuk melalui Selat Hormuz merupakan satu 'hadiah' bagi menunjukkan kesungguhan dalam rundingan menamatkan perang.
Memetik AFP, Trump merujuk kenyataan samar yang dibuatnya dua hari sebelum ini mengenai satu 'hadiah' daripada Tehran yang melibatkan aliran minyak dan gas melalui air tersebut, iaitu titik sempit penting bagi perdagangan tenaga global.
Pasukan Iran sebelum ini dilaporkan telah memperlahankan pergerakan kapal melalui selat berkenaan sehingga hampir terhenti sepanjang perang di Timur Tengah, yang bermula hampir empat minggu lalu.
“Mereka berkata, ‘untuk menunjukkan kepada anda bahawa kami benar-benar serius dan kukuh serta berada di sini, kami akan benarkan anda menerima lapan kapal minyak,’” kata Trump kepada wartawan dalam mesyuarat Kabinet pertamanya sejak konflik bermula.