Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Israel Lancar Serangan Ke Atas Iran

Sofea
Israel Lancar Serangan Ke Atas Iran
Kredit: AFP

Israel Lancar Serangan Ke Atas Iran

Kementerian pertahanan Israel mengumumkan 'serangan awal' terhadap Iran pada Sabtu, lapor AFP

"Israel telah melancarkan serangan awal terhadap Iran. Menteri Pertahanan Israel Katz telah mengisytiharkan darurat khas dan segera di seluruh negara," menurut kenyataan daripada kementeriannya.

Tentera Israel berkata serangan yang dilancarkan ke atas Iran, dengan penyelarasan bersama Amerika Syarikat, menyasarkan puluhan lokasi ketenteraan dan merupakan hasil perancangan bersama antara kedua-dua sekutu selama beberapa bulan.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika wartawan AFP melaporkan bunyi letupan kuat yang kembali kedengaran serta siren amaran serangan udara di sekitar Baitulmaqdis, selepas pihak tentera sebelum itu memaklumkan telah mengesan beberapa siri pelancaran peluru berpandu dari Iran.

“Serangan (ke atas Iran) menyasarkan puluhan aset ketenteraan dan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada operasi besar-besaran yang diselaraskan dan dijalankan bersama terhadap negara itu.

"Ia didahului dengan perancangan erat antara Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dan tentera Amerika Syarikat dalam beberapa bulan sebelum serangan, sekali gus membolehkan pelaksanaan serangan berskala besar itu dilakukan dengan penyelarasan dan keseragaman penuh antara kedua-dua pasukan tentera," menurut kenyataan tentera Israel.

Tentera Israel memaklumkan serangan berkenaan merupakan sebahagian daripada operasi yang dinamakan Roaring Lion, yang menurutnya bertujuan untuk melemahkan sepenuhnya kerajaan Iran serta menghapuskan kewujudan ancaman terhadap Israel secara berperingkat.

Dalam kenyataan berasingan kemudian, tentera Israel berkata tentera udaranya sedang melancarkan serangan ke atas beberapa tapak ketenteraan Iran di wilayah barat negara berkenaan.