Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Israel, Lubnan Setuju Laksana Gencatan Senjata
Israel dan Lebanon pada Rabu bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata, namun menyatakan bahawa ia memerlukan menghentikan sepenuhnya serangan oleh kumpulan Hezbollah yang disokong Iran, menurut satu kenyataan bersama selepas rundingan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) di Washington, lapor AFP.
Difahamkan, kedua-dua pihak, yang tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi, turut bersetuju untuk mewujudkan zon rintis di mana angkatan tentera Lebanon akan mengambil kawalan eksklusif ke atas wilayah tersebut dengan mengecualikan semua aktor bukan negara.
Kenyataan itu menambah bahawa kedua-dua belah pihak bersetuju untuk kembali mengadakan perundingan lanjut mengenai landasan politik dan keselamatan pada minggu 22 Jun, dengan matlamat untuk mencapai perjanjian yang komprehensif.
"Semua negara menegaskan semula bahawa masa depan hubungan antara Israel dan Lebanon mesti diputuskan oleh kedua-dua kerajaan yang berdaulat," jelas kenyataan itu lagi.
"Mereka menolak sebarang cubaan, oleh mana-mana negara atau aktor bukan negara, untuk menjadikan masa depan Lebanon sebagai tebusan," kata dokumen itu, yang jelas merujuk kepada Iran dan Hezbollah.
Rundingan tersebut menyusul beberapa hari selepas Presiden AS Donald Trump menyatakan bahawa kedua-dua negara telah berikrar untuk meredakan ketegangan.
Bagaimanapun, Israel dan Hezbollah terus berbalas serangan, dengan Hezbollah mendakwa melancarkan serangan peluru berpandu ke utara Israel pada Rabu.
Manakala Lebanon menyatakan serangan Israel di wilayah selatan telah mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan orang, termasuk dua anggota paramedik.