Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

ISTAF Mulakan Prosiding Disiplin Terhadap Lima Pemain, Tiga Pegawai Thailand

ISTAF
Kredit: Bernama

ISTAF Mulakan Prosiding Disiplin Terhadap Lima Pemain, Tiga Pegawai Thailand

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) memulakan prosiding disiplin terhadap lima pemain, dua jurulatih dan pengurus pasukan skuad sepak takraw kebangsaan Thailand berhubung insiden semasa perlawanan akhir acara regu berpasukan Piala Dunia Sepaktakraw 2026 bulan lepas.

ISTAF dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jawatankuasa Disiplinnya membuat keputusan itu dalam mesyuarat pada 19 Jun selepas meneliti laporan dan maklumat berkaitan dakwaan bahawa regu ketiga Thailand enggan meneruskan aksi walaupun diarahkan pegawai perlawanan untuk menyambung permainan selaras dengan undang-undang dan peraturan pertandingan.

“Pemain yang dinamakan dalam prosiding itu ialah Wichan Temkort, Jakkrit Thinbangbon, Phutawan Sopa, Sittipong Khamchan dan Chattuphon Siriart,” menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa prosiding berkenaan turut merangkumi dakwaan penglibatan dua jurulatih dan pengurus pasukan berkaitan insiden tersebut.

Notis rasmi berhubung prosiding disiplin dan pertuduhan telah disampaikan melalui Persatuan Sepaktakraw Thailand (TAT) dan setiap responden diberi tempoh 14 hari dari tarikh penyampaian untuk mengemukakan representasi bertulis sebelum perkara itu diteruskan ke peringkat perbicaraan disiplin.

Persekutuan itu juga mengarahkan semua responden dihalang daripada menyertai, mengadili, melatih, mengurus atau terlibat dalam apa-apa jua kejohanan, pertandingan atau aktiviti rasmi anjuran ISTAF sehingga prosiding selesai atau sehingga notis lanjut dikeluarkan.

ISTAF memaklumkan langkah interim itu sebagai langkah pentadbiran bersifat pencegahan bagi melindungi integriti prosiding disiplin serta memastikan tadbir urus pertandingan yang teratur dan tidak wajar ditafsirkan sebagai pengesahan bersalah atau sebagai hukuman disiplin.