Isteri pegawai Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB), Fakhrul Munir Mohd Isa yang masih dilaporkan hilang dalam tragedi banjir besar di Nepal, Hani Othman, selamat tiba di Kathmandu bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai operasi pencarian suaminya.
Hani berkata, beliau kini berada di Kathmandu bersama beberapa kenalan suaminya yang bersedia membantu sepanjang berada di Nepal.
“Assalamualaikum, saya dah selamat tiba di Kathmandu. Bersama saya adalah Nisha dan Jagat. Mereka akan menjaga dan membantu saya di sini.
“Selain itu, saya ada beberapa lagi sahabat lain di Nepal yang akan jaga saya.
“Jadi, jangan risau semua ya. Cuma doakan supaya segala urusan dipermudahkan,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Dalam hantaran berasingan di Facebook, Hani menjelaskan bahawa kunjungannya ke Nepal bukan kali pertama, sebaliknya merupakan lawatan keempatnya ke negara berkenaan.
Menurutnya, kehadiran beberapa rakan suaminya di Nepal turut memberi keyakinan kepadanya sepanjang berada di sana.
“Insya-Allah saya selamat di sini. Suami saya ada ramai kawan-kawan di sini yang menjaga saya. Dan ini bukan kali pertama saya ke Nepal. Ini kali keempat,” ujarnya.

Sebelum ini, Hani memaklumkan beliau mengambil keputusan berlepas ke Kathmandu atas inisiatif sendiri kerana tidak mahu hanya menunggu di rumah tanpa mengetahui perkembangan terkini mengenai pencarian suaminya.
Beliau berkata, pihak keluarga dan keluarga anggota pasukan Loe turut berusaha sedaya upaya menjejaki mereka berdasarkan segala maklumat yang diperoleh.
“Dua hari saya berdiam diri daripada muncul di media sosial sebab sebolehnya saya tak nak benda ini viral dan timbul spekulasi yang bukan-bukan.
“Saya juga berusaha menjaga mental dan emosi ahli keluarga yang lain serta ahli keluarga mangsa-mangsa yang lain,” katanya.
Hani turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang menghubungi, menziarah serta memberikan sokongan kepada dirinya dan keluarga sepanjang tempoh berkenaan.
Jelasnya, walaupun beliau pada awalnya cuba mengelakkan perkara itu daripada menjadi perhatian, sokongan serta doa orang ramai terhadap suaminya amat menyentuh hati.
“Saya terharu melihat komen-komen yang mendoakan suami saya. Sekurang-kurangnya saya tahu masih ramai yang menyayangi beliau,” katanya.
Dalam pada itu, Hani sebelum ini turut berkongsi bahawa beliau ke sebuah hospital di kawasan bencana bagi membantu proses pengecaman mangsa yang ditemukan.
Beliau mengakui pengalaman berkenaan amat berat, namun tetap memilih untuk melaluinya demi mendapatkan petunjuk mengenai keberadaan suaminya.
Menurutnya, setakat proses pengecaman yang telah dilakukan, belum ada petunjuk bahawa mangsa yang ditemukan merupakan suaminya atau individu lain yang masih dicari.
Katanya, proses berkenaan mungkin perlu dilakukan dari semasa ke semasa sekiranya mangsa baharu ditemukan.
“Setakat ini pengecaman mayat, tak jumpa tanda-tanda mereka. Tapi ngeri juga tengok. Ada terputus badan, tinggal tangan… sedih tengok mayat bayi.
“Tapi setiap hari mungkin akan ada kemas kini mayat baharu yang dijumpai. Jadi terpaksalah biasakan diri tengok mayat-mayat ini. Kalau tak, macam mana nak cari mereka?” katanya.
Hani pada masa sama memohon orang ramai terus mendoakan keselamatan suaminya serta semua mangsa yang masih hilang dalam bencana berkenaan.
“Ya Allah, peliharalah mereka semua,” katanya.
Sebelum ini, Hani memaklumkan keputusan untuk ke Nepal dibuat kerana beliau mahu mendapatkan sendiri perkembangan operasi pencarian Fakhrul Munir yang lebih mesra disapa Loe.

“Ini inisiatif saya sendiri untuk dapatkan perkembangan terkini sebab saya tak boleh duduk di rumah saja dan menangis. Saya perlu lakukan sesuatu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan rakan serta kenalan suaminya di Nepal bersedia membantu, manakala Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu telah dimaklumkan mengenai kehadirannya.
Dalam tempoh berkenaan, keluarga dan rakan terdekat turut mengadakan solat hajat sebagai usaha mendoakan keselamatan Fakhrul Munir serta mangsa lain yang masih belum ditemukan.

