Isu buli, penyalahgunaan dadah, salah laku dan jenayah dalam kalangan pelajar tidak boleh dipandang ringan, terutama apabila terdapat kes yang membawa kepada akibat serius.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha pencegahan, pendidikan dan pengesanan awal perlu diberikan perhatian bagi menangani masalah berkenaan sebelum menjadi lebih serius.
“Kita tidak mahu hanya bertindak apabila sesuatu kejadian sudah berlaku.
“Sebaliknya, usaha pencegahan, pendidikan dan pengesanan awal perlu diberi perhatian supaya masalah dapat ditangani sebelum menjadi lebih serius,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Permuafakatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut Saifuddin, kerjasama antara PDRM dan KPM amat penting dalam menangani pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pelajar di sekolah ketika ini.
Sehubungan itu, beliau berharap permuafakatan antara kedua dua pihak dapat terus diperkukuh, bukan sahaja pada peringkat kepimpinan, malah turut dilaksanakan di sekolah seluruh negara.
“Saya berharap permuafakatan antara PDRM dan KPM ini dapat terus diperkukuh, bukan sekadar di peringkat kepimpinan, tetapi sampai ke sekolah sekolah di seluruh negara,” katanya.

