Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA LUMPUR -- Persatuan Jururawat Lelaki Malaysia (MMN) tampil memberikan penjelasan berhubung cadangan untuk membawa masuk jururawat dari Indonesia bagi menangani kekurangan tenaga kerja kesihatan di Malaysia.
MMN dalam satu kenyataan menegaskan tidak bersetuju dengan usul berkenaan dilaksanakan tanpa kajian yang lebih mendalam teliti dan menyeluruh.
"Pendirian ini bukanlah bersifat prejudis terhadap profesionalisme tenaga kerja kesihatan Indonesia, tetapi ia berpaksikan kepada keutamaan menjaga kualiti penjagaan pesakit, keselamatan klinikal, serta kestabilian sistem kesihatan negara dalam jangka panjang.
"Antara isu utama yang perlu diberi perhatian serius termasuklah perbezaan standard latihan kejururawatan, kelayakan akademik, prosedur dan protokol klinikal, serta kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan dialek tempatan.
"Perkara ini secara langsung boleh mempengaruhi penyampaian rawatan yang selamat dan berkesan kepada pesakit Malaysia," maklum kenyataan itu.
Tambah MMN, Malaysia masih mempunyai ramai lulusan kejururawatan tempatan yang belum mendapat penempatan tetap di hospital kerajaan dan swasta.
"Justeru, keutamaan utama harus diberikan kepada pengambilan dan penempatan graduan tempatan terlebih dahulu sebelum memikirkan tenaga kerja asing.
"Kemasukan jururawat asing secara besar-besaran tanpa perancangan rapi boleh menjejaskan peluang pekerjaan warganegara dan juga membebankan sistem latihan adaptasi tempatan," kata MMN lagi.
Tegas MMN, pihaknya menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), dan semua agensi berkaitan supaya meneliti dengan lebih baik setiap implikasi undang-undang, etika profesional, sosioekonomi, dan keselamatan pesakit sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Harus diadakan kajian impak menyeluruh, perbandingan kompetensi secara terbuka, serta mekanisme pemantauan dan penilaian berkala yang sangat ketat.
"Sekiranya kemasukan ini benar-benar diperlukan, ia hendaklah bersifat sementara, terhad jumlahnya, dan dikenakan syarat lesen sementara yang ketat.
"MMN menegaskan bahawa kebajikan pesakit, maruah profesion kejururawatan tempatan, dan peluang pekerjaan warganegara tidak boleh dikorbankan demi menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja secara jangka pendek," maklumnya lagi.