Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

ITM 2026 Perkukuh Ekosistem Pelancongan Mesra Muslim, Penuhi Keperluan Lebih Dua Bilion Muslim Dunia

EKOSISTEM
Wakil AirAsia MOVE, MNet Technology dan Incentiv5 memeterai kerjasama strategik menerusi Perjanjian Kerjasama bagi memperkasa ekosistem pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim sempena Pelancaran Media Bulan Pelancongan Islam (ITM) 2026 serta acara Berita Hebat Dari Ketinggian: Alami Pelancaran Dari Puncak Menara KL di ibu negara, hari ini. Gambar: Haziq Hakimi/SK

Pusat Pelancongan Islam (ITC) terus memperkukuh ekosistem pelancongan mesra Muslim di Malaysia menerusi pelbagai inisiatif termasuk penyelidikan, pembangunan standard, latihan serta pengiktirafan kepada pemain industri.

Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan berkata, agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu diamanahkan untuk menyelia pembangunan ekosistem pelancongan mesra Muslim negara.

Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Media Bulan Pelancongan Islam (ITM) 2026 di ibu negara, hari ini. Gambar: Haziq Hakimi/SK

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Media Bulan Pelancongan Islam (ITM) 2026 dan Berita Hebat Dari Ketinggian: Alami Pelancaran Dari Puncak Menara KL di ibu negara, hari ini.

Menurutnya, tanggungjawab itu dilaksanakan menerusi beberapa bidang utama termasuk penyelidikan dan risikan pasaran, latihan serta pembangunan kapasiti, pembangunan standard, pengiktirafan dan pembangunan industri.

Mohammad Faisal berkata, antara inisiatif utama yang dibangunkan ITC ialah Jaminan dan Pengiktirafan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR).

Katanya, seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menyediakan pensijilan Halal rasmi negara untuk restoran dan perniagaan perkhidmatan makanan, ITC pula menyediakan pengiktirafan MFAR kepada sektor berkaitan pelancongan dan hospitaliti.

Jelasnya, pengiktirafan MFAR ketika ini dibangunkan untuk hotel, agensi pelancongan dan pusat spa, dengan skopnya akan terus diperluaskan pada masa hadapan.

“Pengiktirafan MFAR mempunyai kredibiliti yang kukuh sehingga menarik minat destinasi seperti Rusia, Taiwan dan juga Argentina.

“Matlamat kami adalah supaya destinasi di seluruh dunia dapat menggunakan satu standard MFAR bagi memudahkan perjalanan lebih dua bilion umat Islam di seluruh dunia,” ujarnya.

Pelancongan Tanpa Perlu Mengorbankan Keperluan Berteraskan Agama

Menurut beliau, kewujudan pengiktirafan yang diyakini pelancong Muslim membolehkan mereka melakukan perjalanan dengan lebih tenang dan menikmati pengalaman percutian sepenuhnya.

Katanya, atas keperluan itulah Bulan Pelancongan Islam diperkenalkan bagi memberikan peluang kepada pelancong menikmati pelbagai pengalaman tanpa perlu berkompromi dengan keperluan berteraskan agama mereka.

“Pelancongan mesra Muslim perlu memberi keyakinan kepada pelancong bahawa keperluan mereka sentiasa diberi perhatian.

“Dengan adanya ekosistem dan pengiktirafan yang diyakini, mereka boleh meneroka sesuatu destinasi dengan lebih selesa,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Faisal berkata ITC sentiasa berusaha memperkenalkan pembaharuan dalam setiap penganjuran ITM.

Menurutnya, beberapa penambahbaikan baharu diperkenalkan pada edisi tahun ini dengan penyertaan rakan kerjasama utama, sekali gus mencerminkan permintaan berterusan terhadap produk dan perkhidmatan pelancongan mesra Muslim serta perkembangan jenama ITM.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan industri yang mengambil bahagian, agensi kerajaan, komuniti, pengamal media dan pempengaruh media sosial atas sokongan berterusan terhadap inisiatif berkenaan.

Jelasnya, sokongan semua pihak amat penting dalam memastikan ITM terus berkembang, mendapat sambutan masyarakat dan kisah mengenai pelancongan mesra Muslim Malaysia dapat disampaikan kepada khalayak yang lebih luas.

“Saya berharap semua yang hadir berpeluang meneroka aktiviti peniaga hari ini, mengenali tawaran rakan-rakan kami dan menikmati pengalaman yang telah disediakan.

“Semoga selepas ini, akan ada lebih banyak perkara untuk dikongsikan mengenai Bulan Pelancongan Islam,” katanya.

Bulan Pelancongan Islam 2026 membawa tema ‘Kurang Bimbang, Lebih Banyak Mengembara’, mencerminkan usaha untuk menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih mudah, selesa dan meyakinkan kepada pelancong.

Intipati
  • ITC memperkukuh pelancongan mesra Muslim melalui penyelidikan, latihan, standard dan pengiktirafan industri.
  • Pengiktirafan MFAR kini meliputi hotel, agensi pelancongan dan spa, dengan skop bakal diperluas.
  • ITM 2026 bertema ‘Kurang Bimbang, Lebih Banyak Mengembara’ untuk meningkatkan keyakinan pelancong Muslim.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan