Bulan Pelancongan Islam (ITM) 2026 diyakini mampu memperkukuh lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim utama dunia, sekali gus menyokong pertumbuhan sektor pelancongan negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata, pelancongan mesra Muslim merupakan antara segmen penting dan semakin berkembang dalam landskap industri pelancongan Malaysia.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Media Bulan Pelancongan Islam (ITM) 2026 dan Berita Hebat Dari Ketinggian: Alami Pelancaran Dari Puncak Menara KL di ibu negara, hari ini.
Menurutnya, ITM yang bermula sebagai Minggu Pelancongan Islam pada tahun 2022 kini berkembang menjadi program selama sebulan dan telah menjadi sebahagian daripada kalendar pelancongan Malaysia.
Katanya, penganjuran ITM 2026 juga amat signifikan kerana berlangsung sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Mohd Yusri berkata, Malaysia merekodkan momentum yang memberangsangkan dalam industri pelancongan apabila menerima 42.2 juta ketibaan pelawat antarabangsa pada 2025.
“Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 pula, kita merekodkan 21.12 juta ketibaan pelawat antarabangsa, meningkat 2.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” ujarnya.
Beliau berkata, sekurang-kurangnya 20 peratus daripada keseluruhan ketibaan pelawat ke Malaysia setiap tahun terdiri daripada pelancong Muslim, dengan negara merekodkan kehadiran 9.7 juta pelawat Muslim pada 2025, iaitu jumlah tertinggi pernah dicatatkan.
Jelasnya, Malaysia menyasarkan kehadiran 15 juta pelawat Muslim menjelang tahun 2030, sekali gus menunjukkan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan pelancongan mesra Muslim terus berkembang.
Menurut beliau, keperluan pelancong Muslim di Malaysia disokong menerusi ekosistem Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim yang menyeluruh.
Katanya, ia merangkumi piawaian dan garis panduan nasional, akses kepada makanan halal, kemudahan solat, aktiviti mesra keluarga serta pelbagai produk, perkhidmatan dan kemudahan pelancongan mesra Muslim.
Ekosistem itu, jelasnya, turut menyumbang kepada pengiktirafan Malaysia sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik dalam kalangan negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menerusi laporan Global Muslim Travel Index 2026, sekali gus menandakan kemenangan ke-11 berturut-turut negara.
Mohd Yusri berkata, kejayaan tersebut bukan hanya hasil usaha kerajaan, sebaliknya turut membabitkan pemain industri pelancongan dan komuniti yang bersama-sama membangunkan persekitaran memenuhi keperluan pelancong Muslim.
Konsep ‘Mesra Muslim, Bukan Untuk Muslim Sahaja’
Dalam pada itu, beliau berkata konsep pelancongan Islam yang dibangunkan Malaysia berteraskan pendekatan “Mesra Muslim, Bukan Untuk Muslim Sahaja”.
Menurutnya, pelancongan mesra Muslim bukan sekadar menyediakan makanan halal, sebaliknya menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih selesa, meyakinkan dan menyeronokkan kepada pelancong Muslim serta bukan Muslim.
“Itulah semangat di sebalik tema ‘Kurang Bimbang, Lebih Banyak Mengembara’.
“Apabila pelancong yakin keperluan mereka telah diambil kira, mereka boleh menikmati perjalanan dengan lebih tenang serta meluangkan lebih banyak masa menghargai destinasi, masyarakat, budaya dan pengalaman yang ditawarkan,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pembangunan ekosistem mesra Muslim bukan hanya berkaitan keusahawanan dan pulangan komersial, malah mampu memberikan manfaat lebih luas kepada pelancong, komuniti serta ekonomi.
Katanya, pendekatan itu juga mencerminkan prinsip tanggungjawab, keterangkuman dan manfaat bersama.
Kerjasama Strategik Perluas Capaian ITM 2026
Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata ITM 2026 mengambil pendekatan lebih menyeluruh menerusi peningkatan kerjasama dan hubungan antara pelbagai pihak.
Menurutnya, kerjasama berkenaan membolehkan pengunjung menikmati pengalaman lebih luas berkaitan makanan halal, budaya, komuniti, warisan dan pelancongan mesra Muslim Malaysia menerusi satu platform dalam talian.
Beliau berkata Pusat Pelancongan Islam (ITC) turut menjalinkan kerjasama strategik dengan tiga rakan utama iaitu AirAsia MOVE, MNet Technology dan Incentiv5 bagi memberikan nilai lebih besar kepada pelancong serta pemain industri.
Jelasnya, kerjasama itu akan memudahkan pelancong mendapatkan akses kepada pilihan perjalanan mesra Muslim, di samping membantu perniagaan mencapai dan berinteraksi dengan pasaran yang lebih luas.
“Dengan cara ini, ITM bukan sekadar kempen selama sebulan, sebaliknya menjadi sebuah platform yang menghubungkan perniagaan, komuniti dan pengunjung serta membuka lebih banyak peluang untuk penyertaan dan kerjasama,” ujarnya.
Mohd Yusri berkata beliau yakin komitmen berterusan daripada ITC, pemain industri dan semua rakan kerjasama akan terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara destinasi pelancongan mesra Muslim terkemuka dunia.
Beliau turut merasmikan secara rasmi Bulan Pelancongan Islam 2026 pada majlis berkenaan.

