Itali bukan sahaja terkenal dengan pemandangan indah dan sejarahnya, malah budaya makan masyarakatnya turut mempunyai cara serta tradisi tersendiri.
Bagi rakyat Itali, waktu makan bukan sekadar untuk mengisi perut, sebaliknya menjadi satu ritual sosial yang dinikmati dengan santai.
Setiap hidangan juga mempunyai susunan tertentu, manakala gabungan bahan pula sering dipengaruhi tradisi masakan tempatan.
Jadi, jika anda merancang bercuti ke Itali, berikut tujuh perkara yang sebaiknya dielakkan ketika menikmati hidangan di restoran negara itu.
1. Jangan pesan cappuccino selepas sarapan
Mungkin ramai pernah mendengar bahawa masyarakat Itali tidak minum cappuccino selepas waktu tertentu.
Namun, cara paling mudah untuk mengelakkan kesilapan ialah jangan memesannya ketika makan tengah hari atau makan malam di restoran.
Cappuccino lazimnya dinikmati pada waktu sarapan bersama brioche atau pastri. Minuman itu dianggap terlalu berat dan berkrim untuk dipadankan dengan hidangan utama yang lebih mengenyangkan.
Selepas sarapan, pilihan kopi masyarakat Itali biasanya lebih kepada espresso atau macchiato.

2. Jangan ubah susunan hidangan
Hidangan di restoran Itali kebiasaannya disajikan mengikut urutan tertentu.
Ia bermula dengan antipasto atau pembuka selera, diikuti primo seperti pasta, kemudian secondo e contorni yang merangkumi hidangan utama bersama lauk sampingan, sebelum diakhiri dengan pencuci mulut, kopi dan amaro.
Anda boleh memilih untuk tidak mengambil semua hidangan, namun mengubah susunan atau meminta semuanya dihidangkan serentak bukanlah kebiasaan di sana.
Menariknya, salad juga tidak semestinya dihidangkan sebagai pembuka selera, sebaliknya sering dijadikan lauk sampingan untuk hidangan utama.
Dan satu perkara penting, pasta bukan lauk sampingan.
3. Jangan campurkan makanan laut dengan keju sesuka hati
Meminta keju Parmesan untuk ditaburkan ke atas pasta makanan laut mungkin biasa dilakukan di sesetengah negara, namun ia boleh dianggap janggal di Itali.
Dalam tradisi masakan negara itu, hidangan dari laut dan bahan seperti keju serta daging sering dilihat sebagai dua dunia masakan yang berbeza.
Masyarakat Itali percaya rasa makanan laut boleh bertembung dengan keju yang mempunyai rasa kuat, justeru kedua-duanya jarang digabungkan.
Bagaimanapun, terdapat resipi tertentu yang sememangnya menggabungkan makanan laut dan keju. Jika ia sudah menjadi sebahagian daripada resipi asal, ia dianggap sebagai kombinasi yang diterima.
4. Jangan terlalu banyak meminta tukar bahan
Kebanyakan hidangan Itali disediakan berdasarkan gabungan bahan yang dianggap sesuai oleh chef dan tradisi masakan.
Oleh itu, meminta pasta ditukar jenis, sos diubah atau sesuatu hidangan direka semula mengikut cita rasa sendiri mungkin kurang disenangi.
Namun, keadaan berbeza bagi mereka yang mempunyai alahan atau keperluan pemakanan tertentu. Pengunjung boleh memaklumkan perkara itu kepada pihak restoran dan bertanya sama ada bahan tertentu boleh dikeluarkan.
5. Jangan lupa cuba makanan tempatan setiap daerah
Masakan Itali sebenarnya sangat berbeza mengikut wilayah dan daerah.
Setiap tempat mempunyai hidangan, roti, buah atau produk tempatan yang menjadi identiti mereka.
Contohnya, Naples terkenal sebagai tempat kelahiran piza, manakala pesto sinonim dengan Genoa. Jika berkunjung ke Rome, jangan lepaskan peluang menikmati cacio e pepe dan carbonara.
Florence pula terkenal dengan stik Florentine, manakala Venice cukup sinonim dengan budaya aperitivo yang dinikmati bersama pelbagai snek ringan.
Jadi, sebelum membuat pesanan, bertanyalah kepada penduduk tempatan atau pelayan restoran mengenai makanan yang terkenal di kawasan berkenaan.
6. Jangan tergesa-gesa
Di Itali, makan di restoran merupakan aktiviti sosial yang dinikmati dengan santai.
Makan tengah hari atau makan malam boleh mengambil masa berjam-jam kerana terdapat ruang antara setiap hidangan untuk berbual, menikmati minuman dan berehat sebelum hidangan seterusnya tiba.
Bagi masyarakat Itali, makan bukan perlumbaan.
Jika makan malam bermula lewat, biasanya selepas jam 9 malam, jangan terkejut sekiranya anda hanya selesai menghampiri tengah malam.
7. Jangan terus pulang tanpa mencuba amaro
Selepas menikmati hidangan berat, ramai masyarakat Itali akan mengakhiri waktu makan dengan pencuci mulut, kopi dan amaro.
Amaro yang membawa maksud pahit biasanya diperbuat daripada bahan seperti kulit sitrus, herba atau bahan tumbuhan lain.
Minuman ini juga mempunyai variasi mengikut wilayah, jadi anda boleh bertanya kepada pihak restoran mengenai amaro tempatan atau yang dibuat sendiri.
Kesimpulannya, tiada siapa akan menghalang anda daripada makan mengikut citarasa sendiri.
Namun, memahami beberapa tradisi ini mungkin membantu anda menikmati pengalaman makan yang lebih dekat dengan budaya sebenar masyarakat Itali.

