Dalam membina bangunan rumah, salah satu elemen penting yang perlu kita kaji ialah jenis bumbung yang digunakan.
Mungkin secara dasarnya, kita anggap semua jenis bumbung adalah sama dan boleh digunakan untuk pelbagai jenis rumah.
Bagaimanapun, sebenarnya terdapat beberapa perkara berkaitan bumbung yang memainkan peranan penting untuk menjamin keselamatan, ketahanan, kualiti dan sewaktu dengannya.
Baru-baru ini, Zuryat Abadi berkongsi di group Facebook Tukang Apa Hari Ini mengenai jenis-jenis bumbung yang bagus untuk rumah kita.
Mari ikuti perkongsian ini.
Gambar: Zuryat AbadiBumbung
Boring-boring malam Isnin ni abang nak cerita tentang bumbung. Musim-musim hujan sekarang, abang keraplah dipanggil untuk tampal, baik pulih kebocoran bumbung dan tukar jenis bumbung.
Sampai tak cukup kakitangan nak kejarkan kerja bumbung.
Ramai yang bila ada masalah bumbung bocor, berkira-kira untuk buat slab konkrit bagi menggantikan bumbung asal mereka yang terdiri daripada atap jenis genting pasir, asbestos dan zink.
Jangan boss. Jangan pakai concrete slab. Maintenance / penyelenggaraan lagi demam daripada guna atas jenis lain. Masalah air bocor melalui rekahan dan serapan pada konkrit itu memang susah nak diselenggara dan diperbaiki.
Kalau letak lapisan baru water proofing/kalis air sekadar bertahan setahun dua. Boleh nak buat concrete slab kalau betul-betul tebal dan bancuhan konkrit ikut spesifikasi.
Tapi tetap bermasalah pada sambungan antara konkrit>konkrit atau konkrit>bata dinding. Lagipun ianya tidak sesuai dengan iklim khatulistiwa negara kita yang panas dan lembab sepanjang tahun.
Gambar: Zuryat AbadiLembab yang dimaksudkan ialah hujan bukan lembab dek salji. Aliran cecair yang menerobos melalui apa saja rekahan atau menyerap melalui konkrit yang berasaskan pasir.
Percayalah. Tukang repair bumbung macam abang memang hadap inilah setiap kali baiki kebocoran bumbung. Paling elok gunalah atap daripada genting seramik/tanah liat yang tindihan bertangkup antara satu sama lain (harganya lebih mahal daripada atap yang biasa kita gunakan).
Ada jenis atap genting seramik ini tindihan bertangkup seperti tindihan atap jenis asbestos.
Insya-Allah ini jenis atap yang paling kurang kos penyelenggaraan berbanding zink (masalah kepala paku, kepala skru dimakan usia), asbestos (masalah sama dengan zink), genting pasir (tindihan terlalu sedikit)/terjungkit dan masalah air menyerap disebabkan sifat pasir itu apabila lapisan pelindungnya terhakis dek air hujan).
Atap genting jenis tanah liat/seramik ini kalau betul darjah curamnya Insya-Allah tidak akan bocor. Lagipun kebanyakan pembuatan seramik atau tanah liat ini melalui proses pembakaran yang menjadikannya lebih baik (tidak menyerap haba dan air terlalu banyak).
Gambar: Zuryat AbadiSatu lagi, bangunan 10 tahun dulu banyak guna kayu sebagai kuda-kuda dan gulung-gulung. Ada kayu meleding, terkiat sehingga menyebabkan genting pasir jenis tindihan terjungkit dan bocor bila hujan lebat atau ribut.
Tidak seperti kayu 30 atau 40 tahun dulu yang kayunya adalah daripada jenis kayu baik dan matang. Kayu kebelakangan ini adalah kayu muda dan jenis kayu yang berkualiti rendah.
Ini juga memainkan peranan di dalam pembinaan. Jenis kayu itu sendiri dan untuk mendapatkan kayu berkualiti dan cukup matang tahun 2020 ini memang korang cukup kayalah. Ameen.
Apabila ada yang panggil baiki kebocoran atap jenis genting pasir ini dua pilihan abang bagi:-
Pertama letak kepingan aluminium di bawah atap genting untuk menghalang air menembusinya (pakej tukar sekali gulung-gulung kayu kepada gulung-gulung jenis besi bergalvani) atau kedua, tukar kepada atap jenis lain.
Gambar: Zuryat AbadiKalau tak buat cara ini, pasti esok lusa abang dipanggil lagi untuk datang baiki kebocoran yang sebenarnya ialah usaha sia-sia.
Hari ini tampal belah A (guna silicon dan seangkatan dengannya). Esok bocor pula belah B. Siap B masalah kat belah C pula. Jadi ulang gitu jela sampai Abang Jamil kau pengsan. Kena keluar kos lebih, bukan?
Kos untuk penyelenggaraan berulang. Lebih baik satu kali keluar duit lebih. Ubah suai atau tukar jenis atap. Bertahan lagi 10 ke 15 tahun mantap sangat dah. Lagipun abang tak suka dipanggil kerap kali. Nanti orang ingat abang kerja curi-tipu.
Padahal abang dah terangkan bumbung tu tak guna tampal dan baiki. Paling takda pun ubah suai baru ok sikit.
Untuk kerangka bumbung paling baik dan ekonomi masa kini gunakan besi C section dan C truss yang digalvani. Untuk ketahanan lebih lama (jangan guna yang ada salutan plastik biru tu sebab ia murah dan tidak digalvani).
Besi bergalvani ini kurang kos penyelenggaraan. Tidak perlu dicat (kalau cat lebih baik). Bukanlah bermaksud ia last forever tetapi tahan lebih lama.
Bangunan rumah ini macam kereta juga. Cukup masa perlu diselenggara/service. Tayar botak kena tukar, minyak hitam kena tukar, warna kusam kena kilatkan. Jadi kalau nak membina rumah, kena fikir tentang kos penyelenggaran. Yang jimat, murah dan tahan lama.
Gambar: Zuryat AbadiBagi yang nak menggunakan zink, keluarkan modal lebih sikit. Beli zink yang ada lapisan zink atas dan bawah. Di antara kedua-dua kepingan zink atas dan bawahnya ada lapisan foam.
Lapisan foam ini bertindak sebagai penebat haba dan bunyi. Pasti akan bertahan lebih kama sebelum masuk tempoh perlu diselenggara (biasanya hanya menukar skru).
Serius abang cakap. Siapa rumahnya yang guna zink selapis, pertamanya masalah bunyi bising apabila hujan lebat. Kedua, panas berbahang bila siang.
Jadi keluarkan modal lebih sikit beli zink yang sudah siap dibuat di kilang dengan dua lapisan atas dan bawah ini. Ada juga yang di bawahnya lapisan kertas, tetapi lapisan kertasnya tidak bertahan lama. Kerap gugur dan menyebabkan foam di tengahnya menjadi habuk bila mereput.
Lagi satu pilihan masa kini abang sarankan ialah penggunaan atap jenis fibre hybrid dari Thailand. Dengar nama macam dahsyat teknologinya ya?
Gambar: Zuryat AbadiSebenarnya ia cumalah atap jenis asbestos/simen berserat (asbestos dulu-dulu pernah diharamkan sebab kandungan bahannya membahayakan). Fibre hybrid buatan Thailand ini sedikit lebih liat daripada asbestos biasa kita di Malaysia.
Liat ini lebih baik daripada keras kerana buatan yang terlalu keras ini ia mudah pecah. Kalau liat ia agak sedikit elastik (orang Melayu kata memberi).
Lagi satu ia tersedia dari kilang di Thailand sudah siap lapisan pelindungnya (coating) dan lebih tebal. Ia didatangkan dengan saiz lebih kecil berbanding asbestos buatan Malaysia yang besar dan panjang.
Ini memudahkan pemasangannya dan menghasilkan corak tindihan yang lebih menarik. Rabungnya pula mengikut lekukan atapnya. Tiada lubang yang terbuka luas dan perlu ditutup dan ditampal simen seperti rabung genting.
Gambar: Zuryat AbadiTetapi, ada kelemahan juga tentang rabung jenis fibre hybrid ini kerana jika ia bumbung rata (tanpa limas), mudah untuk dipasang. Jika bumbung jenis limas, Insya-Allah tukang akan sakit kepala memikirkan dan mengerjakan pemasangan bumbung dan rabung fibre hybrid ini.
Sangat leceh untuk menemukan setiap sudut bagi membolehkan rabung dipasang dengan sempurna.
Mendapatkan atap jenis ini juga sukar kerana tidak ramai pengedarnya di Malaysia. Di Johor hanya satu pengedarnya di Kota Tinggi dan pengimportnya hanya ada di Kota Bharu, Kelantan.
Agak memakan masa untuk mendapatkan bekalan jika stoknya habis. Abang biasa tengok rumah-rumah di belah Pantai Timur menggunakan atap jenis ini dan mudah mendapatkan pengedarnya di belah sana.
Gambar: Zuryat AbadiKelebihannya? Ia tahan lebih lama untuk diselenggara kerana skrunya juga dikeluarkan oleh kilang pengeluaran yang sama. Skrunya dilengkapkan dengan washer beserta getah berbentuk payung.
Jika menggunakan skru zink biasa juga boleh. Skru zink biasa berkepala kecil. Senang crettt nanti atapnya.
Tips abang untuk yang nak bina rumah. Benda paling mudah nak lihat ialah jenis bumbung. Jangan lihat reka bentuknya sahaja.
Cari rumah yang paling sedikit saluran airnya sama ada saluran air konkrit atau zink dan PVC.
Yang bumbungnya bukan dari slab/papak konkrit.
Kerangkanya bukan dari kayu (besi juga ada masalah tetapi lebih praktikal guna besi daripada kayu).
Bukan atap jenis zink selapis (bisingnya nanti bila hujan turun ya ampun. Bila siang panas berbahang).
Bukan genting jenis pasir (mana-mana perumahan guna atap jenis ini).
Gambar: Zuryat AbadiNak cari seperti ciri-ciri di atas tak dapat semua, dapat satu dua ok la. Sebelum esok lusa kena bangun tengah malam keluarkan besen menadah air. Lagi menyakitkan hati.
Saya ada jumpa kes pemilik jual rumah disebabkan kebocoran bumbung (bumbungnya terlalu banyak concrete slab). Semak mata dan hati dia tengok bocor itu agaknya. Asyik nak baiki dan cat berulang kali dalam jarak masa pendek.
Nota:-
*Gambar sekadar yang ada. Harap bermanfaat untuk awak-awak semua.
*Penulisan kita buat gaya Wak Kang je. Bagi senang faham.
Gambar: Zuryat Abadi
Sumber: Zuryat Abadi