Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jasa, Legasi Abdul Wahab Alwi Dalam Penubuhan MRSM Terus Terpahat - Ahmad Zahid

WAHAB
Kredit: Facebook Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 25 Ogos (Bernama) -- Jasa dan sumbangan besar bekas Pengarah Bahagian Latihan MARA Allahyarham Abdul Wahab Alwi dalam mencetuskan idea penubuhan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) akan terus terpahat dalam sejarah pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Allahyarham merupakan antara tokoh penting di sebalik cetusan idea dan penubuhan MRSM.

“Daripada sebuah idea yang diperjuangkan dengan penuh kesungguhan, lahirlah sebuah institusi yang sehingga hari ini terus membuka peluang pendidikan dan membentuk masa depan anak-anak bangsa,” katanya menerusi catatan di Facebook malam ini.

Abdul Wahab meninggal dunia 3 pagi tadi pada usia 84 tahun.

Berkongsi lebih lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata Abdul Wahab bersama pasukannya telah menyediakan kertas cadangan serta berusaha mendapatkan sokongan sehingga penubuhan MRSM diluluskan pada 1970.

Beliau berkata Allahyarham kemudiannya turut memainkan peranan dalam pemilihan tenaga pengajar dan pengetua bagi MRSM Seremban, Negeri Sembilan iaitu MRSM pertama negara pada 1972.

Ahmad Zahid turut mengucapkan takziah kepada keluarga Abdul Wahab dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman, selain mengharapkan mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian kehilangan itu.

-- BERNAMA

Intipati
  • Ahmad Zahid menyifatkan Abdul Wahab Alwi tokoh penting dalam penubuhan MRSM.
  • Abdul Wahab bersama pasukannya menyediakan kertas cadangan hingga MRSM diluluskan pada 1970.
  • Beliau turut berperanan memilih tenaga pengajar dan pengetua MRSM Seremban pada 1972.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan