Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jaslinda Temui Dua Nota Pesanan Pasukan SAR Di Kem Air Busok - Bomba
TAPAH, 7 Jun (Bernama) -- Pendaki wanita yang ditemukan selamat selepas hilang di kawasan Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, menjumpai dua nota yang ditinggalkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di Kem Air Busok.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata nota berkenaan ada bersama Jaslinda ketika ditemukan semalam sebelum ditunjukkan kepada pihak bomba.
"Nota itu ditinggalkan oleh anggota Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang dikenali sebagai Hafiz ketika menjalankan pencarian di kawasan Kem Air Busok pada 30 Mei lepas.
“Pada hari berkenaan, pasukan pencarian memberikan tumpuan kepada laluan dari Pos Musoh ke Kem Air Busok, dan nota berkenaan ditinggalkan sebagai petunjuk bahawa pasukan SAR telah melalui kawasan itu,” katanya.
Sabarodzi berkata berdasarkan maklumat yang diperoleh, Jaslinda hanya tiba di kawasan Kem Air Busok pada Jumaat (5 Jun), iaitu sehari sebelum dia ditemukan oleh penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu.
"Penemuan nota tersebut menunjukkan Jaslinda pernah berada berhampiran laluan yang telah dilalui pasukan SAR sepanjang operasi pencarian dijalankan," katanya.
Dalam satu daripada nota yang dikongsikan kepada media itu tertera “Kak Jas please stay satu tempat, orang ramai mencari akak - Hafiz.”
Sebelum ini, Jaslinda dilaporkan menyertai pendakian bersama 13 pendaki lain dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) menerusi laluan Trans Spencer Chapman yang bermula pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki.
Bagaimanapun, eksekutif rantaian bekalan di sebuah syarikat swasta itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak sebelum kali terakhir dilihat pada 24 Mei.