Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

JBPM Perak Cadang Kaji Semula SOP Had Usia Kanak-Kanak Sertai Ekspedisi Mendaki Gunung

Cadang Kaji Semula SOP
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Sayani Saidon (tengah) bercakap kepada media mengenai enam individu termasuk dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika merentasi Gunung Trans Gerah, Lojing, Gua Musang hari ini. Kredit: Bernama

GERIK, 8 Sept (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menyarankan pihak berwajib mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) had usia kanak-kanak dalam aktiviti lasak serta ekspedisi mendaki gunung melalui laluan mencabar.

Pengarah JBPM Perak Datuk Sayani Saidon berkata langkah itu wajar diberi perhatian bagi mengurangkan risiko ketika terlibat dalam aktiviti berkenaan.

“Saranan ini kerana risiko kecederaan fizikal bagi kanak-kanak yang melalui trek mencabar adalah lebih tinggi berbanding pendaki dewasa.

“Jika tidak ada (SOP) standard, saya rasakan telah tiba masanya untuk jabatan berkenaan melihat perkara ini dengan lebih teliti dan telus supaya keterlibatan pendaki-pendaki terutamanya di bawah umur dapat kita hadkan untuk faktor keselamatan,” katanya ketika ditemui di Jeti Trojan, Tasik Banding, di sini hari ini.

Terdahulu, enam individu yang menyertai Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Kelantan ditemukan selamat semalam selepas dilaporkan hilang ketika mendaki gunung itu pada 29 Ogos.

Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan isteri Siti Zulaiha Norizan, 39, serta anak Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, serta dua malim gunung Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, dibawa keluar dari Pos Kemar, 8.30 pagi tadi sebelum tiba di Jeti Trojan pada 10.20 pagi.

Sebelum ini, enam mangsa itu dilaporkan hilang selepas mendaki gunung itu pada 29 Ogos. Mereka dilaporkan gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan, iaitu 3 Sept dan ahli keluarga membuat laporan polis pada Ahad.

Intipati
  • JBPM Perak menyarankan SOP had usia kanak-kanak dalam ekspedisi mendaki dikaji semula.
  • Datuk Sayani Saidon berkata langkah itu penting bagi mengurangkan risiko keselamatan kanak-kanak.
  • Enam peserta Ekspedisi Trans Gerah ditemukan selamat selepas dilaporkan hilang sejak 29 Ogos.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan