Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jelajah Malaysia Digital 2026 Kembali Bawa Peluang Ekonomi Digital Ke Komuniti Setempat

JELAJAH

Jelajah Malaysia Digital 2026 Kembali Bawa Peluang Ekonomi Digital Ke Komuniti Setempat

Kementerian Digital (KD) menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan melancarkan Jelajah Malaysia Digital (JMD) 2026 pada 8 Ogos 2026 di Dewan Komuniti Damansara Damai, Selangor. 

Pelancaran ini menjadi pembuka tirai kepada siri jelajah di lima lokasi seluruh negara yang bertujuan membawa kemahiran, teknologi dan peluang ekonomi digital lebih dekat kepada rakyat serta komuniti perniagaan setempat, merapatkan jurang digital antara komuniti bandar, pinggir bandar dan luar bandar. 

Terbuka secara percuma kepada orang ramai, JMD Damansara Damai akan menampilkan sesi perkongsian industri, bengkel praktikal, demonstrasi robotik dan dron, permainan digital, jualan secara langsung (live selling), pameran usahawan tempatan, sesi jaringan serta pendaftaran minat bagi program latihan, keusahawanan dan kerjaya digital MDEC. 

Pengunjung boleh mendapatkan perkhidmatan di kaunter Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mendaftar MyDigital ID serta memperoleh maklumat mengenai aplikasi MyGOV. Selain itu, PUSPAKOM menawarkan pemeriksaan kenderaan berasaskan AI kepada 40 kenderaan terawal, manakala ZUS Coffee akan menyediakan sehingga 400 cawan kopi percuma kepada pengunjung. 

JMD 2026 menyasarkan 500,000 capaian dan penglibatan rakyat secara fizikal dan dalam talian, khususnya dalam kalangan pelajar, belia, pencari pekerjaan, pekerja bebas, usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Bagi edisi tahun ini, jelajah ini memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu Literasi dan Etika Digital, Kerjaya Digital, Pekerjaan Bebas Digital (Digital Freelance), serta Perniagaan dan Keusahawanan Digital. 

Melalui latihan, bimbingan, perkongsian industri dan demonstrasi teknologi, peserta berpeluang meningkatkan kemahiran digital, meneroka kerjaya dalam bidang teknologi, kandungan kreatif, robotik, kecerdasan buatan (AI) dan pertanian pintar, serta menjana pendapatan melalui ekonomi digital. 

Bagi usahawan, program ini turut menyediakan pendedahan kepada program dan inisiatif seperti eUsahawan, Global Online Workforce (GLOW), perdagangan secara langsung (live commerce), pemasaran digital dan e-Invois Nasional bagi membantu mereka mendigitalkan operasi, meningkatkan produktiviti dan memperluas pasaran. Pengunjung boleh mendapatkan maklumat daripada Kementerian Digital, agensi-agensi kerajaan, rakan strategik dan pemain industri melalui ruang pameran yang disediakan. 

JMD 2026 menyokong agenda Malaysia Digital 2030 (MD2030) dan aspirasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berteraskan AI menjelang 2030. Melalui kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, industri dan komuniti, inisiatif ini membantu memastikan transformasi digital negara dilaksanakan secara inklusif serta memberi manfaat kepada rakyat dan perusahaan tempatan. 

Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke pelancaran JMD 2026 pada Sabtu, 8 Ogos 2026, dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang di Dewan Komuniti Damansara Damai, Selangor. Penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada semua. 

Selepas Selangor, siri JMD 2026 akan diteruskan ke Dewan Bistari Ayer Keroh, Melaka, pada 15 Ogos 2026 sebelum menjelajah ke Kuching, Sarawak; Bagan Datuk, Perak; dan Pahang. 

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini JMD 2026, layari www.mdec.my atau ikuti media sosial rasmi MDEC.

Intipati
  • JMD 2026 akan dilancarkan pada 8 Ogos di Dewan Komuniti Damansara Damai.
  • Program percuma itu menyasarkan pelajar, belia, pencari kerja, pekerja bebas dan usahawan PMKS.
  • Siri jelajah selepas Selangor akan diteruskan ke Melaka, Sarawak, Perak dan Pahang.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan