Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jemaah Masih Dalam Ihram Terima Bunga Ros Ketika Sampai Di Mekah, Ini Penjelasan Pihak Tabung Haji

Athirah
Bunga Ros

Jemaah Masih Dalam Ihram Terima Bunga Ros Ketika Sampai Di Mekah, Ini Penjelasan Pihak Tabung Haji

Bagi individu yang menunaikan ibadah Umrah atau Haji, salah satu fasa penting yang perlu difahami ialah ketika berada dalam keadaan ihram.

Ihram bukan hanya merujuk kepada pakaian putih atau kain tertentu semata-mata, namun ia menggambarkan keadaan suci seseorang yang telah berniat untuk melaksanakan ibadah tersebut serta memasuki satu set larangan yang ditetapkan oleh syarak.

Sekiranya larangan ini tidak difahami dengan baik, jemaah berisiko melakukan kesilapan dalam ibadah atau boleh dikenakan dam (denda) mengikut hukum syarak.

Baru-baru ini, timbul isu dalam kalangan warga maya apabila kumpulan jemaah haji Malaysia disambut dengan pemberian bunga ros (mawar).

Pengarah Operasi Bimbingan Haji tampil beri penjelasan mengenai bunga ros

Pengarah Operasi Bimbingan Haji, Ustaz Shahrin Haji Awaluddin berkata pihak Pusat Perkhidmatan Bimbingan Tabung Haji telah membuat semakan dan mendapati bunga berkenaan tidak berbau wangi.

"Tiada bau-bauan wangi dan tiada masalah bagi jemaah haji

“Sebelum ini, terdapat pihak luar yang mengalungkan bunga berbau wangi. Justeru, Tabung Haji telah mengambil tindakan dengan tidak membenarkan jemaah dikalungkan bunga yang mempunyai bau wangi

“Namun bagi tahun ini, berdasarkan video dan gambaran yang ditunjukkan, pihak TH mengesahkan bunga yang diberikan tidak menimbulkan sebarang masalah serta tidak berbau wangi,” katanya.

Beliau menambah bahawa jemaah boleh dikenakan dam sekiranya bunga tersebut berbau wangi

Dalam masa sama, pihak TH sentiasa memberi peringatan kepada para jemaah, termasuk menerusi kursus yang dijalankan.

Antara perkara yang diharamkan ke atas orang yang berihram

Menurut portal Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, antara perkara yang diharamkan ke atas orang yang berihram untuk dilakukan semasa ihram ialah tatoyyub (berwangi-wangian). Memakai wangi-wangian boleh berlaku dalam empat senario:

  • Tabakhkhur (perasapan): seperti berwangi menggunakan kayu Oud yang dibakar.

  • Istihlak (peleburan): seperti memakai air mawar dan kolon.

  • Mencium baunya: seperti bunga mawar dan bau-bauan.

  • Membawanya: seperti kasturi dan seumpamanya.

Larangan ini berasal daripada hadis riwayat Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah ﷺ bersabda tentang larangan sewaktu ihram, antaranya:

وَلَا تَلْبَسُوا شَيْئًا مَسَّهُ زَعْفَرَانٌ وَلَا الْوَرْسُ

Maksudnya: “Dan janganlah kalian memakai pakaian yang disentuh za`faran dan al-wars (herba yang biasa dijadikan wangian – pent.)”

Riwayat al-Bukhari (1838) dan Muslim (1177)

Pelanggaran larangan ini mewajibkan ke atas orang yang berihram itu untuk membayar dam al-takhyir wa al-taqdir, selain daripada perlu menyempurnakan haji atau umrahnya, bertaubat, menghilangkan bau-bauan itu dengan segera dan boleh dikenakan ta`zir. 504 pelaksanaan dam itu punya boleh dipilih daripada tiga yang berikut:

  • Menyembelih seekor syah (kambing biri-biri)

  • Puasa tiga hari

  • Bersedekah kepada enam orang miskin dengan setiap seorang mendapat separuh sa` (gantang).

Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadat (hlm. 504 & 518)