Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

PUTRAJAYA, 23 Jun – Jepun telah menyatakan penghargaannya terhadap keputusan Malaysia untuk melonggarkan sekatan eksport pelitup muka, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi.
Nanta berkata penghargaan itu disampaikan oleh Duta Besar Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka ketika mengadakan kunjungan hormatnya ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, di sini hari ini, sebagai langkah sementara Malaysia untuk menyekat eksport pelitup muka bagi memastikan bekalan dalam negara mencukupi semasa pandemik COVID-19.
“Jepun menyatakan penghargaan mereka terhadap keputusan Malaysia untuk melonggarkan sekatan eksport pelitup muka dalam memastikan Malaysia dan Jepun dapat terus bekerjasama memerangi pandemik itu demi kepentingan bersama,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena pertemuan itu.
Menurut Nanta, perbincangan mereka tertumpu ke pada hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan Jepun, yang merangkumi pelbagai topik termasuk perdagangan dan pelaburan, perdagangan borong dan runcit, dasar persaingan, Harta Intelek (IP) dan kerjasama dalam lain-lain bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
Semasa perbincangan, kedua-dua negara mengakui bahawa Perjanjian Kerjasama Ekonomi Jepun Malaysia (JMEPA) telah memperkuat kerjasama yang berterusan dalam bidang-bidang tersebut dan telah membantu meningkatkan daya saing pasaran domestik dan dengan demikian memfasilitasi perdagangan dan pelaburan dua hala, katanya.
“Kedua-dua negara berharap kerjasama ekonomi antara Malaysia dan Jepun dapat diperkukuhkan, khususnya dalam bidang kepentingan bersama termasuk perdagangan borong dan runcit, harta intelektual (IP) dan persaingan,” katanya.
Nanta berkata kedua-dua negara juga berharap dapat meneruskan kerjasama dua hala berikutan kelonggaran larangan rentas sempadan secara beransur-ansur yang dikenakan semasa pandemik COVID-19, untuk kebaikan bersama dalam jangka masa panjang.