Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jerebu: Bekas Menteri Indonesia Kritik Gesaan Syed Saddiq Pulaukan Indonesia

Bekas Menteri Indonesia Kritik Saddiq
Kredit: Muhammad Lutfi

Bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi, mengkritik kenyataan Syed Saddiq yang menggesa ASEAN memulaukan Indonesia susulan isu jerebu akibat kebakaran hutan.

Menerusi video di Instagram, Lutfi menyifatkan gesaan itu tidak wajar kerana menyasarkan seluruh negara, sedangkan pihak yang bertanggungjawab terhadap kebakaran sepatutnya dikenal pasti.

“Anda menyerang sebuah negara yang mempunyai 280 juta penduduk, sedangkan kita sepatutnya membincangkan syarikat yang beroperasi di lapangan,” katanya.

Bekas Menteri Indonesia Kritik Gesaan Syed Saddiq Pulau Indonesia

Menurut Lutfi, isu berkenaan tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menekan Indonesia secara keseluruhan, lebih-lebih lagi apabila syarikat dari negara jiran turut mempunyai kepentingan dalam industri perladangan di sana.

Beliau mendakwa kumpulan syarikat Malaysia menguasai sehingga 3.4 juta hektar kawasan konsesi kelapa sawit di Indonesia, sekali gus membangkitkan persoalan mengenai tanggungjawab syarikat yang menjalankan operasi di negara itu.

Lutfi yang juga bekas Pengerusi Lembaga Penyelarasan Pelaburan Indonesia (BKPM) berkata, syarikat Malaysia melabur di Indonesia untuk meraih keuntungan selepas melihat peluang perniagaan yang ditawarkan.

“Mereka datang untuk menjana keuntungan. Mereka melihat tanah yang subur, melihat peluang pada skala besar, kemudian memohon lesen untuk melabur,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa syarikat berkenaan memperoleh kebenaran untuk beroperasi di Indonesia, justeru tindakan terhadap isu kebakaran perlu mengambil kira pihak yang benar-benar bertanggungjawab dan bukannya menyalahkan seluruh negara.

Bagi menerangkan hubungan perniagaan antara kedua-dua negara, Lutfi turut menyentuh proses pengeluaran minyak sawit yang melibatkan operasi di Indonesia dan Malaysia.

Menurutnya, minyak sawit mentah dihantar ke Malaysia untuk diproses sebelum dipasarkan ke Eropah, manakala sebahagian syarikat Malaysia turut memiliki kemudahan pemprosesan hiliran.

Beliau mendakwa keadaan itu membolehkan syarikat Malaysia menikmati keuntungan daripada rantaian perniagaan berkenaan, sedangkan risiko alam sekitar akibat kebakaran ditanggung Indonesia.

Atas alasan itu, Lutfi turut mempersoalkan cadangan supaya bank Malaysia menyekat pembiayaan berkaitan Indonesia kerana mendakwa institusi kewangan berkenaan turut membiayai syarikat Malaysia yang membeli aset perladangan di negara itu.

Dalam pada itu, beliau merujuk laporan Greenpeace bertarikh 5 Oktober yang menurutnya mengesan titik panas kebakaran di kawasan konsesi Indonesia milik syarikat Malaysia, termasuk Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK).

Lutfi menegaskan bahawa mana-mana syarikat yang terbukti terlibat dalam kebakaran, sama ada dari Indonesia atau Malaysia, perlu dikenakan tindakan sewajarnya.

“Jika sesebuah syarikat, sama ada dari Indonesia atau Malaysia, bertanggungjawab terhadap kebakaran, dakwa syarikat itu, tetapi jangan menghina seluruh negara dan jangan sesekali menggelar Indonesia sebagai negara yang dipulaukan,” katanya.

Mengakhiri tegurannya, Lutfi turut menyindir Syed Saddiq supaya memahami fakta berkaitan industri berkenaan sebelum mengeluarkan kenyataan yang menyasarkan Indonesia secara keseluruhan.

“Jika anda tidak mengetahui faktanya, jangan berpura-pura tahu. Diam dan duduklah,” katanya.

Sumber:Instagram