Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

JPJ Gantung Perkhidmatan MYEG Sebagai Ejen Pemungut Mulai 5 Oktober

JPJ Gantung Perkhidmatan MYEG
Kredit: Bernama

Perkhidmatan My E.G Sdn Bhd dan Zetrix AI Berhad di bawah kumpulan MYEG sebagai Ejen Pemungut bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal digantung berkuat kuasa pada 5 Oktober jam 12.01 pagi.

JPJ dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian yang ditetapkan serta kedudukan tanggungjawab yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan oleh syarikat berkenaan.

JPJ Gantung Perkhidmatan MYEG

Susulan itu, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG akan digantung mulai 5 Oktober.

Bagaimanapun, Ujian Undang-Undang Berkomputer (KPP01) yang telah dibuat melalui saluran MYEG sebelum 5 Oktober masih dibenarkan dan boleh diteruskan seperti biasa.

Manakala, bagi tempahan baharu yang dibuat mulai 5 Oktober, urusan tempahan dan pelaksanaan ujian hendaklah dibuat melalui Pusat Ujian KPP yang disediakan di Institut Memandu di seluruh Malaysia.

“JPJ memberi jaminan bahawa urusan dan penyampaian perkhidamtan kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa melalui saluran rasmi dan alternatif yang disediakan.

“Orang ramai boleh melaksanakan urus niaga berkaitan melalui saluran kaunter, aplikasi, portal awam, kios dan kaunter mobile JPJ.

“Urusan yang berkaitan juga boleh dilakukan di pejabat pos atau Puspakom,” katanya.

Sementara itu, bagi pembayaran saman melibatkan bukan warganegara Malaysia di pintu masuk sempadan Malaysia-Singapura, kemudahan pembayaran akan disediakan melalui Unit Mobile JPJ yang ditempatkan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor bermula 8 pagi hingga 10 malam.

“JPJ menasihatkan orang ramai supaya menggunakan saluran rasmi yang disediakan bagi memastikan setiap urus niaga dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat.

“JPJ kekal komited untuk memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta memastikan setiap urusan dilaksanakan secara teratur, telus dan berintegriti,” katanya.