Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jualan Proton Naik 13.6 Peratus Pada Oktober, Saga Model Paling Laris
Perusahaan Otomobil Nasional (Proton) Holding Berhad berjaya menjual sebanyak 12,799 unit kenderaan untuk pasaran domestik dan eksport pada Oktober.
Ia merupakan peningkatan sebanyak 13.6 peratus berbanding bulan sebelumnya, sekaligus menjadikan jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) Proton meningkat kepada 125,557 unit.
Proton juga memaklumkan syarikat itu kekal sebagai jenama kedua paling popular dalam kedudukan jualan automotif negara dengan ramalan bahagian pasaran sebanyak 18.1 peratus untuk bulan tersebut dan angka YTD sebanyak 18.9 peratus untuk keseluruhan 2024.
Menurut Proton, jumlah jualan bagi industri automotif pulih pada Oktober selepas merosot pada bulan sebelumnya.
“Memandangkan OEM membanjiri pasaran dengan tawaran untuk meningkatkan angka jualan akhir tahun, jumlah volum industri (TIV) dijangka tamat bulan ini pada 70,668 unit, kali kelima ia telah melangkaui had unit 70,000 unit tahun ini dan mengekalkannya pada kadar untuk mencapai rekod baharu pada penghujung 2024,” kata Proton dalam satu kenyataan.
Jualan meningkat pada Oktober, Saga model Proton paling laris
Sementara itu, Saga menjadi model Proton paling laris pada Oktober iaitu sebanyak 6,112 unit terjual.
Ia sekaligus menjadikan jumlah YTD model berkenaan melebihi 60,178 unit dan meletakkan Saga sebagai kenderaan volum ketiga tertinggi di negara ini.
“Dengan berbaki dua bulan lagi, harapan tinggi diletakkan untuk Saga menembusi melebihi 70,000 unit untuk tahun kedua berturut-turut dan mencapai 72,000 unit jumlah jualan bagi tahun ini,” kata Proton lagi.
Walaupun Saga bukan pendahulu dalam segmennya, tiga lagi model Proton yang lain berjaya mencatatkan jualan tertinggi pada Oktober mengatasi jenama-jenama lain.
“Proton X50 terus mengorak langkah dalam pasaran SUV segmen B walaupun terdapat banyak pesaing yang melancarkan produk saingan tahun ini.
“Gabungan reka bentuk yang bergaya dan prestasi berkuasa digandingkan dengan tahap keselamatan, ketersambungan dan keselesaan yang terkemuka di pasaran memastikan minat terhadap model itu kekal tinggi.
“2,122 unit telah dihantar pada bulan Oktober, membolehkan X50 memegang kedudukannya di bahagian atas segmen dengan selesa untuk kedua-dua jumlah jualan bulanan dan YTD,” kata Proton.
Manakala Proton S70 kembali ke puncak sebagai model sedan segmen C paling laris pada Oktober, selepas tersingkir daripada takhtanya pada September.
“Sebanyak 16,200 unit kini telah dijual pada 2024 dan model itu akan menerima penggalakan dengan Proton S70 R3 mengetuai syarikat pada Perlumbaan Ketahanan 1000km Sepang dari 22-24 November,” tambah Proton.
Proton X90 turut muncul sebagai model SUV segmen D paling laris dengan 245 unit terjual pada Oktober, menjadikan jualan YTD sebanyak 2,969.
Manakala tiga model Proton yang lain terus mencatatkan nombor jualan memuaskan.
Proton Persona kekal sebagai pesaing kuat untuk sedan segmen B dengan 1,520 unit dijual, meletakkannya di tangga ketiga segmen tersebut.
Seterusnya, Proton X70 pula mencapai 989 unit dijual pada Oktober iaitu jualan ketiga tertinggi SUV segmen C.
Manakala Proton Iriz mencatatkan 379 unit untuk kekal di tempat keempat bagi jualan hatchback segmen B.

BACA: Awas, Hujan Lebat & Ribut Petir Diramal Landa 11 Negeri Petang Ini
Sumber: Kenyataan media Proton