Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jumlah Penumpang Harian MRT Laluan Putrajaya Dijangka Cecah 200,000 – Loke
KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) — Jumlah penumpang harian bagi perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya yang akan mula beroperasi sepenuhnya pada pertengahan Mac ini dijangka mampu mencecah kira-kira 200,000 dalam masa dua tahun.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua kini siap 99.9 peratus dan berharap dapat menarik lebih ramai pengguna pengangkutan awam menggunakan perkhidmatan itu.
“Untuk tempoh satu hingga dua tahun, kami harap ia dapat cecah 200,000 penumpang harian, itu memang harapan kami, tetapi seperti mana-mana perkhidmatan MRT atau LRT (Transit Aliran Ringan), ia akan mengambil masa untuk capai sasaran itu.
“Seperti MRT Satu juga Kajang Line (MRT Laluan Kajang), kita bermula dengan jumlah yang rendah tetapi kemudian ia telah mencecah kira-kira 200,000 sekarang. Ia ambil masa kira-kira dua tahun untuk capai jumlah itu,” katanya pada sidang media di Depoh MRT Sungai Buloh, dekat sini hari ini.
Beliau berkata pada permulaan apabila ia mula beroperasi nanti akan dimulakan dengan frekuensi lima minit untuk setiap tren.
Terdahulu, Loke mengadakan lawatan kerja ke MRT Laluan Putrajaya bermula dari stesen Putrajaya Sentral ke stesen Titiwangsa, sebelum menuju ke stesen Kwasa Damansara.
Beliau berkata tapak yang dikenal pasti itu milik MRT Corp yang akan bertanggungjawab membangunkan projek tersebut termasuk urusan perolehan dan tender.
“Pada mulanya (pembesaran stesen) ini dirancang bersama pembinaan MRT3, tetapi saya beritahu MRT Corp mungkin kita perlu melihat perkara ini dan melakukannya lebih awal, sebelum pembinaan (MRT3),” katanya.
Loke berkata pihaknya telah mengenal pasti kawasan pembangunan yang merupakan bekas tapak Flat Pekeliling yang dirobohkan untuk melaksanakan pembinaan tersebut berkonsepkan stesen pembangunan berorientasikan transit (TOD).
Beliau berkata sebanyak 107 bas pengantara disediakan bagi menyokong perkhidmatan MRT2 dalam menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan tersebut.
Loke berkata pihaknya juga akan meneliti pelbagai pendekatan bagi menambah baik sistem batuan pertama dan akhir termasuk cadangan memperkenalkan perkongsian kenderaan dengan kerjasama syarikat e-hailing, bagi mengoptimumkan perkhidmatan tersebut dengan harga tambang lebih murah.
Ditanya berkenaan status terkini MRT3, Loke berkata pihaknya sedang menunggu kelulusan projek dan penganugerahan tender daripada Kementerian Kewangan.
BACA: Rapid Bus, DBKL Kerjasama Lancarkan Perjalanan Bas
Sumber: Bernama