Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

MAG Sahkan Juruterbang Ditahan Di Indonesia Bukan Juruterbang Terbangkan Pesawat Ketika Kejadian

PESAWAT
Kredit: Bernama

MAG Sahkan Juruterbang Ditahan Di Indonesia Bukan Juruterbang Terbangkan Pesawat Ketika Kejadian

Malaysia Aviation Group (MAG) mengesahkan juruterbang yang ditahan pihak berkuasa Indonesia baru-baru ini tidak mengendalikan pesawat ketika penerbangan berkenaan, sebaliknya hanya berada di kokpit sebagai pemerhati.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, individu terbabit merupakan Pegawai Kedua (Second Officer) yang menaiki kerusi 'jump seat' di kokpit sebagai pemerhati dan bukan juruterbang yang mengendalikan pesawat.

Menurut beliau, individu berkenaan juga tidak bertugas selama dua hari sebelum insiden itu berlaku.

“Pesawat berkenaan dikendalikan dengan selamat sepanjang penerbangan oleh dua juruterbang yang bertauliah.

“Tindakan individu terbabit adalah sama sekali tidak boleh diterima dan bertentangan dengan standard profesional yang diharapkan daripada semua kakitangan MAG,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan insiden itu, MAG memaklumkan telah memperketatkan rangka kerja keselamatan serta kecergasan bertugas menerusi pelaksanaan saringan dadah mandatori ke atas semua juruterbang syarikat penerbangannya.

Menurut Nasaruddin, fasa pertama saringan tersebut melibatkan seramai 1,260 juruterbang Malaysia Airlines dan dijangka selesai sepenuhnya sebelum 15 Ogos ini.

Katanya, mana-mana juruterbang yang gagal menjalani saringan dalam tempoh ditetapkan tidak akan dibenarkan mengendalikan penerbangan sehingga melepasi prosedur serta keperluan kawal selia yang ditetapkan MAG.

“Keselamatan operasi dan kecergasan kru untuk bertugas adalah perkara yang tidak boleh dikompromi di MAG.

“Kami memandang serius setiap pelanggaran terhadap standard keselamatan dan telah mengambil tindakan segera dengan memperluaskan saringan dadah mandatori kepada semua juruterbang aktif.

“Walaupun insiden terpencil ini tidak mencerminkan profesionalisme sebahagian besar warga kerja kami, MAG akan terus memperkukuh langkah perlindungan bagi mengekalkan keyakinan penumpang dan semua pihak berkepentingan,” ujarnya.

Dalam masa sama, MAG berkata, saringan dadah mandatori itu akan dilaksanakan ke atas semua juruterbang aktif sebagai tambahan kepada program ujian rawak sedia ada sebelum diperluaskan kepada kru kabin.

Menurut syarikat itu, langkah berkenaan melengkapkan rangka kerja kecergasan bertugas yang telah diamalkan sebelum ini, termasuk saringan sebelum pengambilan pekerja, pensijilan perubatan Kelas 1 bagi juruterbang, latihan berkala, ujian alkohol dan dadah secara berkala serta semakan pematuhan sebelum setiap penerbangan.

Katanya, sebelum setiap penerbangan, semua juruterbang turut diwajibkan melengkapkan penilaian kendiri IMSAFER bagi menilai tahap kesihatan fizikal dan mental sebelum bertugas.

Selain itu, MAG berkata, pihaknya turut menyediakan sokongan kebajikan menerusi Program Bantuan Pekerja (Employee Assistance Programme) dan Malaysia Aviation Group Peer Support (MAPS), iaitu inisiatif sokongan sulit yang dikendalikan rakan sekerja bagi menggalakkan intervensi awal serta menjaga kesejahteraan kakitangan.

Tambahnya, MAG akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa penerbangan, penguat kuasa dan badan kawal selia bagi melaksanakan penambahbaikan, memperkukuh langkah pencegahan serta memastikan pematuhan terhadap semua keperluan keselamatan dalam industri penerbangan.