Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

JustGO: Benda 'Wajib' Pengguna Lebuh Raya PLUS Kena Tahu Di Plaza Tol

Hannah
JUSTGO
Gambar: BERNAMA

JustGO: Benda 'Wajib' Pengguna Lebuh Raya PLUS Kena Tahu Di Plaza Tol

Pengguna lebuh raya di Malaysia kini mungkin sudah boleh menarik nafas lega. Masalah tersalah masuk lorong tol atau keliru memilih laluan mungkin bakal menjadi perkara 'lapuk' dengan pengenalan sistem pembayaran tol tanpa henti JustGO.

Melalui sistem baharu ini, pemandu tidak lagi perlu berhenti atau menggunakan sebarang peranti tambahan ketika melalui plaza tol. Sebaliknya, bayaran tol akan dibuat secara automatik menggunakan teknologi pengecaman nombor pendaftaran kenderaan.

Apa itu sistem JustGO?

JustGO ialah sistem pembayaran tol berasaskan ANPR (Automatic Number Plate Recognition) yang menggunakan kamera khas untuk mengesan nombor plat kenderaan.

Sistem ini disokong oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin, membolehkan proses pengecaman dan bayaran dilakukan dengan tepat serta automatik.

Bayaran tol akan terus ditolak daripada akaun pengguna yang telah didaftarkan melalui aplikasi JustGO Malaysia.

Apa yang baharu?

Buat masa ini, pelaksanaan JustGO masih berada di peringkat ujian rintis awam dan terbuka kepada semua pengguna lebuh raya PLUS. Pengguna boleh menikmati kemudahan masuk dan keluar plaza tol tanpa perlu memilih lorong tertentu.

Kebebasan pilih lorong tol

Antara kelebihan utama sistem ini ialah:

  • Tiada lorong khas diperlukan

  • Pemandu boleh masuk dan keluar mana-mana lorong tol

  • Tidak perlu berhenti sepenuhnya di plaza tol

  • Hanya perlu mengekalkan kelajuan sekitar 20 hingga 25 km/j

Namun perlu ingatkan, walaupun sistem tanpa henti digunakan, palang tol masih dikekalkan sepanjang tempoh projek rintis.

Lokasi projek rintis

Projek rintis ini dilaksanakan di laluan Hutan Kampung – Sungai Dua dengan jarak sejauh 87.7 kilometer. Antara plaza tol yang terlibat ialah:

  • Hutan Kampung

  • Alor Setar Utara

  • Alor Setar Selatan

  • Pendang

  • Gurun

  • Sungai Petani Utara

  • Sungai Petani Selatan

  • Bertam

  • Sungai Dua

Cara menggunakan JustGO

Pengguna hanya perlu mengikuti langkah mudah berikut:

1. Muat turun aplikasi JustGO Malaysia

2. Daftarkan kenderaan

3. Pautkan kaedah pembayaran

4. Pandu seperti biasa di lebuh raya

Tiada peranti tambahan diperlukan dan tiada kos pendahuluan dikenakan.

Kaedah pembayaran

Sistem JustGO menyokong beberapa kaedah pembayaran termasuk:

  • Kad debit

  • Kad kredit

  • E-invois

Pelaksanaan sistem JustGO ini dilihat sebagai satu langkah ke hadapan dalam memodenkan sistem pembayaran tol di Malaysia.

Ia bukan sahaja berpotensi mengurangkan kesesakan, malah mempercepatkan aliran trafik dan memberi pengalaman pemanduan yang lebih lancar kepada pengguna lebuh raya.

Orang ramai digalakkan untuk mencuba sistem ini dan merasai sendiri kemudahannya.