Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pasaran buruh negara terus menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah tenaga buruh meningkat kepada 17.34 juta orang pada Mei 2026, manakala kadar pengangguran kekal rendah pada 3.0 peratus.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, tenaga buruh mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus berbanding April lalu yang merekodkan 17.33 juta orang.
Menurut DOSM, kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) kekal pada 70.9 peratus, sama seperti yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Bagaimanapun, bilangan penganggur meningkat sedikit sebanyak 0.3 peratus kepada 513,400 orang, berbanding 511,800 orang pada April 2026.
Katanya, meskipun berlaku pertambahan kecil dalam jumlah penganggur, kadar pengangguran negara kekal stabil pada 3.0 peratus.
Dalam pada itu, bilangan penduduk bekerja terus mencatatkan peningkatan marginal sebanyak 0.1 peratus, dengan jumlah keseluruhan mencecah 16.82 juta orang pada Mei 2026.
Menurut DOSM, sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang terbesar kepada guna tenaga, didorong oleh aktiviti perdagangan borong dan runcit, penginapan serta perkhidmatan makanan dan minuman, selain sektor maklumat dan komunikasi.
Selain sektor perkhidmatan, sektor pembuatan, pembinaan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian turut merekodkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja sepanjang bulan berkenaan.
Sementara itu, bilangan penduduk di luar tenaga buruh meningkat sedikit sebanyak 0.04 peratus kepada 7.10 juta orang berbanding April lalu.