Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kandungan Langgar Nilai Islam, Arab Saudi & GCC Beri Amaran Kepada Syarikat Penstriman

Nur Syahirah Zainoor Hisham
arab saudi beri amaran syarikat penstriman
Kredit: Pexels

Negara-negara Teluk Arab telah mendesak syarikat penstriman untuk membuang semua kandungan yang bercanggah dengan ‘prinsip dan nilai Islam serta kemasyarakatan’, lapor media Arab Saudi menerusi BBC.

Baru-baru ini, pemerhati media Arab Saudi dan Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (Gulf Co-operation Council, GCC) memberikan amaran kepada sebuah syarikat penstriman mengenai kandungan yang menyentuh sensitiviti agama.

Menerusi laporan yang disiarkan oleh Al Ekhbariya TV, ia menunjukkan beberapa klip sensitif yang memaparkan adegan ciuman sesama jantina, penganut agama Islam yang ingin ‘bebas’ dari syariat Islam dan sebagainya.

Petikan laporan yang turut disiarkan di platform Twitter itu mendakwa, syarikat penstriman berkenaan melakukan ‘penyebaran mesej yang tidak bermoral dalam bentuk tayangan, secara tidak sedar telah mengancam pemikiran kanak-kanak’.

Dalam masa sama, laman web Al Ekhbariya juga mendakwa bahawa servis penstriman atas talian juga telah ‘mempromosi homoseksualiti dengan terlalu memberikan tumpuan kepada golongan homoseksual’.

Selain daripada hantaran di platform digital, saluran televisyen tersebut turut menemu bual beberapa figura awam yang juga meluahkan dakwaan sama serta menyeru pihak berkuasa agar mengambil tindakan segera.

Tindakan daripada pihak berkuasa Arab Saudi & GCC

Pesuruhjaya Awam Media Audiovisual Arab Saudi dan Jawatankuasa Media Elektronik GCC dalam satu kenyataan bersama berkata, pihaknya sudah menghubungi syarikat penstriman berkenaan ekoran hal tersebut.

“Salah satu syarikat servis penstriman telah dihubungi oleh pihak kami atas tujuan meminta pihak mereka membuang kandungan-kandungan sebegini, termasuklah kandungan yang ditujukan kepada kanak-kanak dan memastikan pihak mereka mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan,” maklum mereka.

Gambar hiasan | Freepik

Pihak berkuasa akan membuat tindakan susulan terhadap penguatkuasaan arahan tersebut dan amaran mereka, “Sekiranya terdapat apa-apa kandungan yang melanggar undang-undang disiarkan, tindakan undang-undang akan diambil”.

Bagaimanapun pada masa yang sama, tiada maklum balas segera diterima daripada pihak syarikat yang menawarkan servis penstriman atas talian tersebut.

Difahamkan, walaupun negara itu dipercayai tidak memiliki undang-undang (spesifik) berkenaan orientasi seksual ataupun identiti jantina, perkara-perkara seperti zina termasuklah hubungan seks sesama jantina adalah dilarang sama sekali.

Di bawah undang-undang Islam, hubungan seksual sesama jantina secara sukarela boleh dijatuhkan hukuman mati atau sebatan, bergantung kepada tahap keseriusan kes.

Pada April lalu, semua panggung wayang di Arab Saudi tidak menayangkan sebuah filem aksi terkenal dari US selepas Disney’s menolak permintaan pihak berkuasa Arab Saudi untuk memotong babak yang mengandungi unsur-unsur LGBTQ.

Dalam masa sama, sebuah filem animasi yang menampilkan adegan ciuman sesama jantina juga menerima nasib sama, dilapor telah diharamkan oleh negara tersebut bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun lepas.

Sumber BBC