Pulau Pinang, 5 September 2026 — Kasih Madani, sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem pengasuhan kanak-kanak di rumah di Malaysia, hari ini meraikan sumbangan dan pencapaian para pengasuh di rumah menerusi Gala Pesona Kasih Madani yang menghimpunkan para pengasuh, mentor, rakan kerjasama dan pemegang taruh bagi menghargai peranan penting mereka dalam menyokong keluarga di Malaysia.
Kasih Madani Perkukuh Ekosistem Pengasuhan Kanak-Kanak di Rumah
Gala Pesona Kasih Madani Zon Utara yang berlangsung pada 5 September 2026 di PICCA Convention Centre, Butterworth, Pulau Pinang, menghimpunkan para pengasuh Kasih Madani, mentor, rakan kerjasama dan pihak berkepentingan untuk meraikan dedikasi serta pencapaian mereka dalam memperkukuh ekosistem pengasuhan kanak-kanak.

Majlis ini menghimpunkan kira-kira 600 peserta, termasuk pengasuh Kasih Madani, mentor, rakan kerjasama program dan pemegang taruh komuniti, serta turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek.
Sejak dilancarkan pada Ogos 2025, Kasih Madani telah mencapai lebih 1,000 pengasuh di empat negeri — Kuala Lumpur, Perak, Kedah dan Pulau Pinang. Diuruskan oleh Merdeka Center dengan sokongan Kementerian Kewangan Malaysia melalui Yayasan Sime Darby, Kasih Madani merupakan satu inisiatif yang digerakkan selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem penjagaan kanak-kanak di Malaysia melalui pemerkasaan pengasuh di rumah dan komuniti.
Menerusi program seperti Kursus Rintis Asuhan Madani (KARISMA), Seminar Asuhan Madani (SEMAI), program profesionalisasi dan program komuniti, Kasih Madani berusaha melengkapkan para pengasuh dengan pengetahuan, kemahiran dan sokongan yang diperlukan untuk meningkatkan kualiti pengasuhan, di samping memperkukuh peranan mereka dalam ekosistem penjagaan dan pembangunan kanak-kanak yang lebih menyeluruh di Malaysia.

Gala Pesona Kasih Madani menjadi platform untuk mengiktiraf dedikasi dan komitmen para pengasuh yang memainkan peranan penting dalam menyediakan penjagaan dan sokongan kepada kanak-kanak serta keluarga dalam komuniti masing-masing. Acara ini turut memberi peluang kepada para peserta untuk bertemu semula, berkongsi pengalaman dan meraikan perkembangan yang telah dicapai sepanjang perjalanan mereka bersama Kasih Madani.
Selain meraikan pencapaian individu, Kasih Madani turut berhasrat untuk memperluas perbincangan mengenai peranan pengasuhan kanak-kanak di rumah dalam ekosistem penjagaan kanak-kanak di Malaysia. Seiring dengan keperluan keluarga muda yang semakin meningkat serta kepentingan menyediakan sokongan yang membolehkan ibu bapa, khususnya wanita, terus menyertai tenaga kerja, akses kepada perkhidmatan pengasuhan yang berkualiti dan mudah diperoleh merupakan antara elemen penting dalam membina keluarga dan komuniti yang lebih berdaya tahan.
“Kasih Madani adalah sebuah inisiatif perintis dalam menyokong komuniti pengasuh di rumah yang terawal di Malaysia dalam membina ekosistem penjagaan kanak-kanak yang lebih selamat, profesional dan berkualiti walaupun di rumah. Justeru itu, keberkesanan program ini diharapkan dapat menjadi penanda aras untuk pelbagai inisiatif ekonomi jagaan pada masa akan datang disamping membuka ruang kepada lebih banyak sokongan dan usaha berterusan daripada kerajaan dalam memperkukuh ekosistem penjagaan kanak-kanak di Malaysia,” menurut Athirah Izzati, Pegawai Kajian Kasih Madani.

Seiring dengan perjalanan Kasih Madani, inisiatif ini kekal komited untuk menyediakan peluang bermakna kepada para pengasuh untuk belajar, berhubung dan berkembang secara profesional.
Gala Pesona Kasih Madani bukan sekadar sebuah sambutan, tetapi merupakan cerminan usaha bersama para pengasuh, mentor, rakan kerjasama dan pemegang taruh dalam membina ekosistem pengasuhan yang lebih menyokong dan mampan demi kesejahteraan keluarga di Malaysia.
