Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kasma Daniel Kekal Terajui SS600 Selepas Podium Di Mandalika

KASMA

Kasma Daniel Kekal Terajui SS600 Selepas Podium Di Mandalika

Pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin, kekal menerajui kedudukan keseluruhan Supersports 600cc (SS600) selepas Pusingan 4 Kejuaraan FIM Asia Road Racing Championship (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa Pertamina Mandalika, Indonesia.

Juara bertahan SS600 itu menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kedua sebelum mengutip mata penting dalam Perlumbaan 2 meskipun terjatuh pada pusingan terakhir. Rakan sepasukannya, McKinley Kyle Paz, pula meraih tempat kedua pada Ahad, sekali gus memastikan Hong Leong Yamaha Racing menaiki podium dalam kedua-dua perlumbaan hujung minggu tersebut.

Kasma menamatkan Perlumbaan 1 dengan catatan masa 19:35.971, hanya 0.375 saat di belakang pemenang, Wahyu Nugroho. Kyle pula menduduki tempat keempat, melengkapkan keputusan kukuh buat Hong Leong Yamaha Racing pada Sabtu.

Bermula dari petak ketujuh dalam Perlumbaan 2, Kyle berjaya mengambil alih pendahuluan menjelang penghujung pusingan pertama dan kekal dalam kelompok hadapan sepanjang perlumbaan. Beliau melintasi garisan penamat dengan catatan masa 19:45.242, hanya 0.293 saat di belakang pemenang, Anupab Sarmoon.

Kasma pula mengambil alih pendahuluan pada pusingan ke-11 sebelum terlibat dalam insiden bersama Thanat Laoongplio pada pusingan terakhir yang menyebabkan kedua-dua pelumba terjatuh. Kasma kembali meneruskan perlumbaan dan berjaya menamatkan saingan di tempat ke-11.

McKinley Kyle Paz memacu saingan untuk meraih tempat kedua, manakala Kasma Daniel kembali meneruskan perlumbaan selepas terjatuh pada pusingan terakhir dan berjuang sehingga bendera penamat.

Kredit foto: Two Wheels Motor Racing

Kasma kini kekal di tangga teratas kedudukan keseluruhan SS600 dengan 127 mata, sembilan mata di hadapan Thanat dan Anupab. Persaingan sengit di Mandalika menyusuli kemenangan Kasma di Buriram pada awal musim ini, apabila aksi di selekoh terakhir membolehkannya meraih kemenangan dengan kelebihan hanya 0.003 saat.

“Kami kekal positif dan fokus kepada jentera serta perlumbaan. Saya tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri dan hanya mahu menikmati setiap perlumbaan. Keputusan podium pada Sabtu sangat bermakna buat seluruh pasukan, lebih-lebih lagi pada musim pertama kami bersama Castrol untuk kategori SS600 di ARRC. Perlumbaan pada Ahad lebih mencabar, tetapi saya kembali meneruskan perlumbaan dan memastikan kami sampai ke garisan penamat kerana setiap mata sangat penting,” kata Kasma.

Musim 2026 menandakan kerjasama pertama Castrol dengan Hong Leong Yamaha Racing, dengan Castrol menyokong program pembangunan Yamaha YZF-R6 sebagai rakan teknikal pelincir bagi kategori SS600.

Kasma Daniel meraikan kejayaan bersama pasukan Hong Leong Yamaha Racing selepas meraih tempat kedua dalam kategori SS600 bagi Perlumbaan 1 di Litar Antarabangsa Pertamina Mandalika, Indonesia.

“Kasma dan Kyle menunjukkan tahap fokus dan konsistensi yang diperlukan untuk terus bersaing di bawah tekanan ekstrem,” kata Joshua Tan, Ketua Pemasaran Castrol Malaysia, Singapura dan Filipina. “Peranan kami adalah untuk menyokong pasukan menerusi teknologi pelincir dalam persekitaran yang menuntut prestasi konsisten. Apabila peluang kemenangan hanya dibezakan oleh satu-seperseribu saat, enjin, klac dan kawalan pelumba perlu berfungsi secara menyeluruh dari satu selekoh ke satu selekoh dan dari pusingan pertama sehingga ke garisan penamat. Persekitaran perlumbaan seperti ARRC turut memberi kami ruang untuk terus mendalami beban tuntutan pelinciran enjin yang diperlukan untuk permotoran berprestasi tinggi yang ekstrem.”

Kerjasama itu menggabungkan kemahiran perlumbaan Kasma, kepakaran kejuruteraan Hong Leong Yamaha Racing, jentera Yamaha YZF-R6 serta kepakaran Castrol dalam teknologi pelinciran bagi menyokong prestasi pasukan sepanjang musim.

Penglibatan Castrol dalam sukan permotoran dua roda dari peringkat nasional hingga global adalah demi menyokong pembangunan bakat, kerjasama teknikal serta mendalami tuntutan pelinciran enjin di dalam persekitaran perlumbaan sebenar.

Pengalaman yang diperoleh daripada persekitaran permotoran berprestasi tinggi ini turut memacu pendekatan Castrol dalam pembangunan teknologi pelincir terunggul kami, termasuklah untuk Castrol POWER1 ULTIMATE.

Saingan ARRC 2026 seterusnya akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang dari 4 hingga 6 September, dengan Kasma meneruskan usahanya mempertahankan gelaran SS600 di hadapan penyokong di halaman sendiri.

Intipati
  • Kasma Daniel kekal menerajui keseluruhan SS600 ARRC 2026 dengan 127 mata selepas Mandalika.
  • Beliau meraih tempat kedua Perlumbaan 1 sebelum menamatkan Perlumbaan 2 di tempat ke-11.
  • McKinley Kyle Paz memberi Hong Leong Yamaha Racing podium kedua menerusi Perlumbaan 2 pada Ahad.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan