Syarikat keselamatan siber Kaspersky mengesan pelbagai cubaan penipuan jualan iPhone Duo yang menyasarkan pengguna di beberapa negara, termasuk menerusi tawaran diskaun palsu dan laman sesawang yang menyerupai identiti visual Apple.
Kaspersky dalam kenyataan bertarikh 26 Oktober memaklumkan penipu mengambil kesempatan terhadap keterujaan pembeli untuk mendapatkan peranti premium itu lebih awal bagi memperdaya mereka supaya berkongsi maklumat peribadi dan butiran berkaitan pembayaran.
Dalam satu kes, sebuah laman sesawang berbahasa Inggeris menawarkan diskaun kononnya sebanyak 25 peratus, selain memaparkan pemasa undur yang mendakwa tawaran itu akan tamat dalam tempoh 30 minit.
Menurut syarikat itu, taktik berkenaan bertujuan mewujudkan rasa terdesak dan mendorong pengunjung membuat keputusan terburu-buru.
Ketika proses pesanan, pengguna diminta memberikan maklumat hubungan serta alamat penghantaran, namun laman itu tidak meminta butiran kad pembayaran pada peringkat tersebut.
Sebaliknya, laman berkenaan mendakwa seorang pengurus akan menghubungi pelanggan kemudian untuk mengesahkan urusan penghantaran dan pembayaran.
Kaspersky menjelaskan pendekatan sedemikian boleh menjadi langkah awal dalam penipuan yang akhirnya mengakibatkan kerugian kewangan.
Penganalisis Kanan Kandungan Web Kaspersky Olga Altukhova berkata penipu bertindak pantas apabila peranti utama memasuki pasaran kerana keterujaan pengguna boleh menyebabkan mereka kurang berhati-hati.
“Kempen ini direka supaya kelihatan meyakinkan, kemudian mendorong sasaran beralih kepada komunikasi peribadi sebelum mereka sempat mengesahkan apa-apa.
“Bagi penipu, pembeli peranti premium merupakan sasaran bernilai tinggi kerana mereka sudah bersedia berbelanja besar dan lebih berkemungkinan berkongsi maklumat peribadi atau butiran berkaitan pembayaran,” katanya dalam kenyataan itu.
Menurut Altukhova, tawaran diskaun, prapesanan atau semakan ketersediaan produk melalui saluran tidak rasmi perlu dianggap sebagai petanda amaran.
Kaspersky turut mengenal pasti laman palsu berbilang bahasa yang membolehkan pengguna memilih bahasa dan mata wang untuk membuat prapesanan.
Bagi meyakinkan pengguna, laman berkenaan mendakwa mereka akan dibawa ke laman rasmi Apple, sedangkan perkara itu tidak berlaku.
Dalam satu lagi kes yang menyasarkan pengguna berbahasa Portugis, penipu meminta nombor telefon yang dipautkan kepada akaun WhatsApp serta alamat e-mel kononnya untuk menyemak ketersediaan produk.
Menurut Kaspersky, taktik itu bukan sahaja mendedahkan maklumat hubungan mangsa, malah meningkatkan risiko mereka menjadi sasaran manipulasi lanjut melalui kejuruteraan sosial.
Bagi mengelakkan penipuan, pengguna disaran membeli produk melalui kedai rasmi atau penjual bereputasi serta menyemak kesahihan alamat laman sesawang dan ejaan nama organisasi sebelum memasukkan maklumat peribadi.
Pengguna juga digalakkan menggunakan perisian keselamatan yang boleh mengesan kedai palsu dan menyekat pautan pancingan data.
Selain itu, Kaspersky menyarankan penggunaan kad maya khusus atau perkhidmatan pembayaran khusus bagi pembelian dalam talian untuk mengurangkan pendedahan maklumat kad kredit dan akaun bank.
Pengguna turut dinasihatkan mengaktifkan pengesahan berbilang faktor serta menyemak penyata akaun secara berkala bagi mengesan sebarang transaksi tanpa kebenaran.

