Kebakaran Hutan Dilapor Berlaku Di Taman Puncak Jalil
Satu kebakaran hutan dilaporkan berlaku di Jalan PUJ 2/24, Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan pada malam Khamis.
Menerusi video tular yang dikongsikan orang awam di media sosial, memaparkan kebakaran di kawasan berbukit berdekatan taman perumahan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknnya menerima laporan berhubung kebakaran pada jam 9.27 malam.
Susulan itu, jentera pertama tiba di lokasi kejadian pada jam 9.40 malam.
“Pihak bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak dan kerja pemadaman sedang giat dijalankan di lokasi kejadian,” katanya.
Sebanyak empat jentera digunakan dalam operasi itu, iaitu tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).
Kebakaran berkenaan dianggarkan melibatkan keluasan kira-kira dua ekar hutan.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan.
