Seorang wanita berusia 24 tahun didakwa atas kesalahan terlibat dalam jenayah rogol dan dera yang teruk ke atas seorang remaja perempuan 14 tahun, baru-baru ini, lapor The Sun.
Memetik pendakwaan, pada awalnya suspek menemui remaja tersebut dalam sebuah parti yang dihadiri mereka beberapa bulan lalu, sebelum masing-masing mula berkenalan di media sosial.
Suspek kemudiannya mengajak remaja itu untuk bertemu sekali lagi di bandar Parramatta pada 5 Jun dan segalanya bermula apabila mereka berdua masuk ke dalam kereta.
Mengikut fakta kes, mangsa (remaja berkenaan) kemudiannya telah dirogol secara tiba-tiba oleh seorang lelaki tidak dikenali yang berada di dalam kereta tersebut.
Tidak cukup dengan itu, suspek yang dipercayai bersama lelaki terbabit membawa mangsa ke bilik hotel untuk sambung merogol remaja malang tersebut sekali lagi.
Difahamkan, suspek telah mengurung mangsa selama sebulan di beberapa lokasi berbeza sehingga 6 Julai berikutnya.
Sepanjang tempoh tersebut, suspek didakwa telah mendera mangsa dengan begitu teruk secara mental dan fizikal, termasuklah diancam gas penyala api.
Tidak kurang juga, suspek didakwa turut pernah menyuntik dadah jenis heroin, methamphetamine dan ‘date rape drug’ GBH ke dalam badan mangsa tersebut.
Mengikut pendakwaan, suspek juga dituduh atas kesalahan menculik, membekalkan dadah terlarang, mencuri, mengancam dan merosakkan harta benda menggunakan api hingga menyebabkan kecederaan selepas ditahan di Berkshire Park, Sydney baru-baru ini.
Bagaimanapun suspek menafikan tuduhan tersebut dan jaminan ke atasnya ditolak.
Polis kini sedang menjejaki dua lagi suspek wanita dan lelaki yang terlibat dalam kes culik tersebut dan tangkapan dijangka akan dibuat.
Sumber: The Sun
