Kelawar Jadi 'Pengukur' Biodiversiti Di Ladang Sawit
Kelawar bakal memainkan peranan penting dalam membantu penyelidik memahami tahap biodiversiti dalam landskap sawit menerusi satu kajian baharu yang dibiayai Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Kajian selama dua tahun itu akan menggunakan haiwan itu sebagai bioindikator bagi menilai bagaimana kepelbagaian dan aktiviti hidupan liar berubah merentasi kawasan hutan, sempadan hutan-ladang serta kawasan tanaman sawit yang terletak lebih jauh daripada hutan. Pendekatan itu penting kerana kelawar sangat sensitif terhadap perubahan persekitaran, termasuk struktur habitat, ketersediaan sumber makanan dan tahap gangguan. Corak kehadiran, kepelbagaian spesies serta aktiviti kelawar justeru boleh memberikan petunjuk terhadap keadaan ekologi sesuatu landskap.

Kajian bertajuk “Assessing Multiple Functional Habitats in Forest Patch–Oil Palm Interfaces Using Bat Sampling in WILMAR Plantation” itu akan dilaksanakan di enam ladang sawit milik PPB Oil Palms Berhad, Wilmar di Miri, Sarawak dan dijangka selesai pada akhir 2027. MPOGCF menyediakan pembiayaan sebanyak RM190,000 bagi kajian yang diketuai Pengarah Institute of Biodiversity and Environmental Conservation (IBEC), UNIMAS, Prof. Ts. Dr. Mohd Azlan Jayasilan Abdul Gulam Azad.
Kajian tersebut bukan sekadar untuk merekodkan spesies kelawar yang terdapat di kawasan berkenaan, sebaliknya bertujuan menghasilkan bukti saintifik yang boleh membantu industri memahami bagaimana pengurusan landskap sawit boleh menyokong biodiversiti dan fungsi habitat.

Dapatan kajian juga diharapkan dapat mengenal pasti perbezaan nilai biodiversiti antara hutan, kawasan peralihan hutan-ladang dan kawasan tanaman sawit, sekali gus membantu pemain industri membuat keputusan pemuliharaan yang lebih berasaskan bukti.
Kerjasama itu dimeterai menerusi pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara MPOGCF dan UNIMAS di kampus induk UNIMAS di Kota Samarahan, Sarawak pada 13 Ogos 2026. MPOGCF diwakili Pengurus Besar, Hairulazim Mahmud, manakala UNIMAS diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Siti Noor Linda Taib.

Majlis tersebut disaksikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Dr. Ramle Moslim. Turut hadir Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan), Dr. Mohd Hefni Rusli; Pengarah Strategik dan Polisi CPOPC, Dr. Chandran Gunalan; serta Pengarah Bahagian Penyelidikan Biologi dan Kelestarian MPOB, Dr. Meilina Ong Abdullah.
MPOGCF yakin dapatan kajian berkenaan akan menyediakan asas saintifik yang lebih kukuh kepada pemain industri sawit Malaysia dalam merancang dan mempertingkat usaha pemuliharaan biodiversiti, khususnya di kawasan yang membentuk pertemuan antara habitat hutan dengan landskap tanaman sawit.
