Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

"Di sini, saya nak menafikan dimana tidak pernah wujud dakwaan permit palsu. Saya pergi ke kubur dengan membawa salinan yang betul asal putih dan kuning sahaja.”
Itu tegas Muhammad Hasrul Ghazali, 41, yang tampil memberikan penjelasan mengenai situasi sebenar berhubung kontroversi kelewatan pengebumian jenazah anaknya Siti Adawiyah, 14, di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang baru-baru ini.
Muhammad Hasrul juga mendakwa, dia tidak pernah berurusan dengan pihak masjid seperti yang ditularkan, sebaliknya telah berurusan dengan Badan Kebajikan Silaturahim (BKS) untuk proses pengebumian jenazah sejak dimaklumkan mengenai kematian anaknya.
"Bermula daripada tahu anak saya meninggal, saya dah berurusan dengan BKS untuk menguruskan jenazah anak saya," katanya.
Menurutnya, selepas menerima kebenaran untuk jenazah dibawa keluar dari hospital, dimandikan dikafankan dan disolatkan, dia kemudiannya ke masjid untuk mendapatkan borang kebenaran pengebumian daripada seorang ahli jawatankuasa.
"Bagaimanapun berlaku sedikit kekeliruan apabila saya diminta membawa Permit Mengubur berwarna biru ke tanah perkuburan.
"Dalam masa yang sama berlaku perbualan-perbualan, datang seorang perempuan ahli lembaga pentadbiran wakil kariah dan permit saya dipegang," katanya.
Dakwanya, selepas menunggu agak lama dia kemudian membawa jenazah anaknya ke tanah perkuburan hanya dengan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam berwarna putih dan kuning yang berada di tangannya.
Selepas mengemukakan borang permohonan itu, pekerja tanah perkuburan membenarkan pengebumian dijalankan pada mulanya.
"Tiba-tiba datang dua orang polis, pekerja kubur menyatakan pengebumian dihentikan kerana ada laporan polis terhadap saya daripada pihak masjid. Jadi, terpaksa dihentikan.
"Jadi saya sebagai waris terpaksa menunggu OCS (polis) datang dan kemudian pihak masjid membawa permit biru yang berada di tangan mereka.
"Selepas kira-kira satu jam 39 minit, jenazah dapat dikebumikan dengan sempurna," katanya lagi.
Muhammad Hasrul turut menafikan dakwaan bahawa dia menggunakan permit atau borang palsu bagi urusan pengebumian.
Terdahulu, tular video di media sosial mengenai isu kelewatan proses pengebumian jenazah di sebuah tanah perkuburan sehingga mendapat perhatian ramai.