Kenapa orang Melayu zaman dahulu suka tanam pokok kelapa?
Kalau melihat rumah kampung Melayu zaman dahulu, pokok kelapa antara tanaman yang sering menghiasi kawasan sekeliling kediaman.
Pokoknya yang tinggi dengan pelepah berjuntai bukan sekadar mencantikkan halaman, malah mempunyai pelbagai kegunaan dalam kehidupan seharian masyarakat ketika itu.
Amalan ini sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan cara hidup orang Melayu dahulu yang banyak bergantung pada sumber alam untuk memenuhi keperluan keluarga.
Berbanding sekarang, apabila kebanyakan tanaman di halaman rumah lebih bersifat hiasan, masyarakat dahulu memilih pokok yang boleh memberikan manfaat dalam jangka panjang.
Antaranya termasuklah pokok kelapa yang boleh menghasilkan makanan, menyediakan bahan kegunaan rumah dan membantu menyesuaikan persekitaran kediaman dengan cuaca tropika.
Menariknya, penanaman pokok ini turut mempunyai nilai budaya tersendiri dalam landskap rumah tradisional Melayu.
Membekalkan Makanan Untuk Kegunaan Seisi Keluarga
Antara sebab utama pokok kelapa ditanam berhampiran rumah adalah kerana buahnya boleh dimanfaatkan sebagai sumber makanan.
Air kelapa boleh diminum, manakala isi buahnya boleh diparut untuk menghasilkan santan yang digunakan dalam pelbagai masakan tradisional.
Selain itu, kelapa turut menjadi bahan penting dalam penyediaan kuih-muih, lauk-pauk dan hidangan masyarakat Melayu sejak dahulu.
Dengan adanya pokok kelapa sendiri, keluarga tidak perlu terlalu bergantung kepada penjual untuk mendapatkan bahan masakan tersebut.
Malah, buah yang sudah tua boleh disimpan dan digunakan mengikut keperluan, sekali gus mengurangkan pembaziran hasil tanaman.
Daun Kelapa Mempunyai Banyak Kegunaan
Bukan buah sahaja yang berguna, malah bahagian lain pokok kelapa turut dimanfaatkan dalam kehidupan masyarakat dahulu.
Daunnya boleh dianyam menjadi ketupat, tikar dan bakul, selain digunakan sebagai bahan membuat atap bagi kediaman tradisional.
Lidi daripada pelepah kelapa pula boleh dijadikan penyapu untuk membersihkan kawasan rumah.
Menurut Urban Biodiversity Initiative, daun kelapa turut digunakan sebagai bahan anyaman dan ketupat dalam masyarakat Melayu.
Kegunaan ini menunjukkan bagaimana masyarakat dahulu memanfaatkan sumber yang tersedia tanpa membiarkan banyak bahagian pokok terbuang begitu sahaja.

Menjadi Sebahagian Daripada Bahan Binaan Rumah
Sebelum bahan binaan moden mudah diperoleh, masyarakat Melayu banyak menggunakan sumber alam untuk membina dan melengkapkan kediaman mereka.
Daun kelapa misalnya boleh dijadikan bahan atap, manakala sabutnya digunakan untuk pelbagai keperluan termasuk bahan bakar.
Tempurung kelapa pula boleh dimanfaatkan sebagai bekas atau peralatan rumah, bergantung pada kreativiti dan keperluan penggunanya.
Kajian Abdul Kadir H. Din dan Kamis Awang yang diterbitkan dalam jurnal Sari pada 1996 turut merekodkan penggunaan kelapa dalam kehidupan harian masyarakat Melayu.
Kajian itu menjelaskan bahawa kelapa antara tanaman yang diambil hasilnya untuk kegunaan harian, termasuk sebagai bahan membuat atap rumah.
Membantu Membentuk Persekitaran Halaman Rumah
Selain kegunaan harian, pokok kelapa juga menjadi sebahagian daripada susun atur landskap rumah tradisional Melayu.
Kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2012 mendapati kawasan halaman rumah Melayu bukan sekadar ruang kosong, sebaliknya mempunyai fungsi sosial, budaya dan keperluan keluarga.
Pokok serta tumbuh-tumbuhan ditanam mengikut kegunaan masing-masing, termasuk untuk mendapatkan makanan, memberikan teduhan dan membantu mewujudkan keselesaan persekitaran.
Sementara itu, kajian dalam jurnal Sustainability pada 2020 turut menyebut pokok kelapa sebagai antara tanaman yang ditanam di sekitar rumah tradisional Melayu.
Menariknya, tanaman tersebut bukan sahaja berfungsi sebagai sumber makanan dan hiasan, malah boleh menjadi sebahagian daripada penghadang keselamatan kawasan kediaman.
Hal ini menunjukkan bahawa halaman rumah dahulu dirancang dengan mengambil kira keperluan praktikal, bukannya sekadar untuk mencantikkan pemandangan.
Turut Mempunyai Nilai Simbolik Dalam Budaya Melayu
Selain manfaat fizikal, pokok kelapa juga mempunyai kaitan dengan adat dan kenangan keluarga dalam masyarakat Melayu terdahulu.
Kajian UPM pada 2012 bertajuk Socio-Cultural Influences in the Composition of Traditional Malay House Compounds in Rural Melaka menemukan penggunaan pokok kelapa sebagai simbol kelahiran ahli keluarga.
Menurut kajian tersebut, penanaman pokok tertentu di halaman rumah boleh membawa maksud tersendiri dan melambangkan peristiwa penting dalam kehidupan sesebuah keluarga.
Amalan ini memperlihatkan bahawa pokok yang ditanam bukan semata-mata untuk mendapatkan hasil, tetapi turut menjadi sebahagian daripada memori dan warisan keluarga.
Tidak hairanlah jika sesetengah pokok yang ditanam sejak dahulu masih dipelihara walaupun generasi pemilik rumah sudah bertukar.
Akhirnya, pokok kelapa yang sering kelihatan di sekeliling rumah kampung bukan sekadar tanaman biasa, sebaliknya mencerminkan kehidupan masyarakat Melayu yang bijak memanfaatkan sumber alam.
Setiap bahagiannya mempunyai kegunaan tersendiri, menjadikannya antara tanaman yang cukup bernilai dalam kehidupan masyarakat sebelum kemudahan moden menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.

