Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kenapa Ramai Pemain Pakai Kasut Bola Warna 'Pink'?

Kasut bola pink
Kredit: BBC

Kenapa Ramai Pemain Pakai Kasut Bola Warna 'Pink'?

Jika anda menyaksikan perlawanan Piala Dunia 2026, perasan tak ada satu benda yang sama hampir pada setiap pemain?

Kebanyakan pemain bola memakai kasut bola berwarna merah jambu atau pink. Sebenarnya, ada apa dengan warna kasut bola pada piala dunia kali ini? Ada maksud tersirat ke disebalik ini?

Mengapa Kasut Bola Pink Jadi Pilihan?

Fenomena kasut pink ini bukanlah kebetulan. Beberapa jenama sukan gergasi dunia seperti Nike, Adidas, Puma, New Balance hingga Skechers dilaporkan secara serentak memperkenalkan koleksi kasut khas berwarna pink terang untuk digunakan pada edisi Piala Dunia kali ini.

Ramai menyangka ia sekadar kebetulan, namun hakikatnya perkara ini sudah berulang.

Ben Warren, pengasas BW Boots UK yang menyediakan kasut eksklusif untuk beberapa pemain Piala Dunia, berkata kepada The New York Times bahawa hampir semua jenama kali ini memilih tona warna yang sama.

Pegawai kanan dalam pasukan global Nike bagi kasut bola, Odinga Nimako, menjelaskan bahawa warna-warna terang ini merupakan permintaan terus daripada para atlet.

Warna terang seperti pink memberi mereka keyakinan.

Kredit: AP News

“Apabila memakai warna yang sangat terang, ia membawa mesej tersirat bahawa mereka perlu tampil lebih berani dan lebih cemerlang di atas padang,” jelasnya.

Berdasarkan ujian di lapangan, warna pink terbukti memberi impak visual yang paling kuat.

Ia sangat berbeza dengan warna hijau padang, sekali gus memudahkan penonton di stadium mahupun di kaca televisyen untuk mengikuti setiap pergerakan pemain dengan lebih jelas.

Memandangkan tiada pasukan yang menggunakan jersi utama berwarna pink di Piala Dunia 2026, kasut ini secara automatik menjadi elemen yang paling menyerlah di atas padang dan tidak sebati dengan corak seragam pasukan.

Walaupun padang dipenuhi warna merah jambu, terdapat beberapa pengecualian sepanjang kejohanan.

Mengikut peraturan FIFA, semua pengadil diwajibkan memakai kasut hitam tradisional keluaran Adidas. Selain itu, beberapa bintang besar yang mempunyai kontrak khas turut tampil dengan gaya berbeza.

Lionel Messi akan memakai kasut Adidas berwarna putih biru langit dengan aksen emas yang sepadan dengan jersi pasukan Argentina.

Bintang Amerika Syarikat, Christian Pulisic, pula akan memakai kasut Puma berwarna putih dengan corak bintang biru, manakala Cristiano Ronaldo disediakan kasut khas berwarna emas penuh oleh Nike sempena penampilan beliau di Piala Dunia keenamnya.

Namun begitu, bagi kebanyakan pemain lain yang terikat dengan kontrak jenama, mereka tetap diwajibkan memakai kasut berwarna pink sepanjang kejohanan.

Bagaimanapun, trend ini dijangka tidak kekal lama kerana kebiasaannya pengeluar sudah menyiapkan rekaan warna baharu seiring bermulanya musim liga kelab pada penghujung Julai.