Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kenapa Tv Suka Tayang Drama Popular Pukul 7pm? Ini Sebabnya

drama pukul 7
Gambar AI

Balik sahaja dari kerja, selesai urusan harian atau ketika sedang berehat di rumah, antara perkara yang sering dilakukan oleh sebahagian daripada kita adalah meluangkan masa sengkang yang ada dengan menonton televisyen, kan?

Bagi kaki drama tempatan pula, ada yang sanggup berusaha gigih untuk menyelesaikan kerja lebih awal, semata-mata agar tidak terlepas episod terbaru drama kegemaran.

Tambah pula, drama tempatan ini biasanya episod sebelumnya akan berakhir dengan penceritaan tergantung dan penuh dengan tanda-tanya.

Jadi, pengikut setia drama mesti rasa tak sabar nak tahu apa sambungannya dan apa yang berlaku selepas itu, betul tak?

Itu satu hal. Satu lagi, pernah tak anda terfikir kenapa sesetengah drama popular di Malaysia ini sering disiarkan pada waktu tertentu.

Misalnya sekitar pukul 7 malam, yang sinonim dengan slot drama tertentu dalam kalangan stesen televisyen tempatan.

Kenapa pukul 7 malam jadi pilihan?

Adakah ia sekadar kebetulan, atau sebenarnya terdapat strategi tertentu di sebalik penyusunan jadual rancangan televisyen?

Pernah dengar istikah prime time? Untuk pengetahuan pembaca, prime time atau waktu tontonan utama adalah konsep yang merujuk kepada tempoh siaran yang lazimnya mempunyai potensi menarik jumlah penonton lebih tinggi.

Waktu petang hingga malam sering dikaitkan dengan rutin masyarakat yang mula pulang dari tempat kerja, menyelesaikan urusan harian dan meluangkan masa bersama keluarga.

Jadi, menempatkan rancangan popular pada waktu ini boleh menjadi salah satu strategi untuk menarik perhatian penonton yang sedang berehat di rumah.

Ada sebahagian pendapat berkata, pukul 7 malam itu boleh dianggap sebagai jendela atau permulaan kepada prime time.

Selain itu, tabiat penonton juga memainkan peranan utama bila dalam penentuan bila satu-satu program itu hendak disiarkan.

Apabila sesebuah drama ditayangkan pada waktu yang sama setiap hari, ia akan membentuk rutin dalam kalangan peminat tegar untuk melekat depan kaca tv apabila jam di dinding tepat pukul 7 malam

Tambahan pula, jumlah penonton yang tinggi turut mempunyai kepentingan dari sudut komersial kerana ia boleh membantu menarik pengiklan dan penaja.

Memandangkan pukul 7 malam adalah antara waktu dimana majoriti penonton biasanya mula berehat di rumah setelah seharian kepenatan bekerja di waktu siang, maka potensi untuk penonton ‘melayan’ tv pada waktu ini adalah lebih tinggi berbanding waktu-waktu lain.

Jadi gabungan antara permulaan waktu prime, rutin penonton dan waktu dengan jumlah penonton lebih tinggi mungkin menjadi pendorong untuk stesen tv meletakkan program paling popular seperti drama bersiri pada pukul 7 malam.

Penonton yang ramai ini kemudian menyediakan data tontonan atau rating siaran yang lebih menarik dari sudut komersial untuk dipersembahkan kepada klien masing-masing.

Rahsia Sebenar Sesebuah Drama Berjaya Menarik Perhatian

Walaupun waktu siaran memainkan peranan penting, kejayaan sesebuah drama sebenarnya bukan bergantung kepada jadual tayangan semata-mata.

Jika jalan ceritanya tidak menarik atau lakonan kurang meyakinkan, belum tentu penonton mahu menonton walaupun disiarkan pada prime time.

Kekuatan skrip, jalan cerita yang dekat dengan kehidupan masyarakat, lakonan yang berkesan serta pengarahan yang baik turut menjadi antara elemen penting menentukan populariti drama yang ditayangkan.

Di belakang semua itu pula ada ramai tenaga kreatif seperti penerbit, penulis skrip, pengarah, jurukamera dan penyunting memainkan peranan masing-masing dalam kejayaan sesebuah drama.

Mereka mungkin tidak muncul di kaca televisyen, tetapi hasil kerja merekalah yang membantu menghidupkan penceritaan yang dibayangkan di dalam skrip.

Justeru, bakat serta sumbangan penggiat industri ini juga wajar diberikan pengiktirafan, bukan hanya kepada individu yang muncul di hadapan kamera.

ASA 2026, Mengiktiraf Mereka Yang 'Menghidupkan' Dunia Penyiaran

Bercakap tentang pengiktirafan, Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) yang berada di bawah seliaan Kementerian Komunikasi telah mewujudkan Anugerah Seri Angkasa (ASA) bagi menghargai pencapaian serta sumbangan para penggiat industri penyiaran tempatan ini.

Bagi edisi ke-37 tahun ini, ASA 2026 yang membawa tema 'Segalanya Bermula Di Sini' akan berlangsung pada 24 Oktober ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan Majlis Kira Detik Anugerah ASA selamat dilancarkan secara rasmi pada 14 Oktober lepas.

Sebanyak 60 kategori utama dipertandingkan yang merangkumi 40 kategori televisyen, 17 kategori radio dan tiga kategori media baharu.

Selain itu, terdapat dua kategori khas, iaitu Anugerah Khas Juri dan Anugerah Tokoh Seri Angkasa dipertandingkan, sekaligus menjadikan kategori pengiktirafan keseluruhan adalah 62 kategori.

Menariknya, kategori yang dipertandingkan bukan hanya tertumpu kepada pelakon atau drama popular semata-semata.

Selain anugerah seperti Drama Bersiri TV Terbaik dan Pengarah Drama TV Terbaik, individu di belakang tabir turut diberi perhatian melalui kategori seperti Jurukamera TV Terbaik dan Suntingan Rancangan TV Terbaik.

Bidang kewartawanan dan penyiaran berita juga turut diraikan dengan kategori seperti Buletin TV Terbaik dan Liputan Berita TV Terbaik.

Sementara itu, kategori radio turut mengiktiraf bakat penyiaran audio, termasuk kategori Pengulas Radio Terbaik pada edisi kali ini.

Seiring perkembangan teknologi dan perubahan cara masyarakat menikmati kandungan, ASA 2026 juga memberikan perhatian kepada media baharu.

Antaranya menerusi kategori Drama/Drama Bersiri/Drama Mikro Terbaik serta Video Pendek Terbaik, yang mencerminkan perkembangan industri kreatif melangkaui siaran televisyen dan radio konvensional.

Secara keseluruhan, ASA 2026 menerima 1,601 pencalonan, terdiri daripada 1,106 pencalonan kategori televisyen, 421 radio dan 74 media baharu.

ASA turut menampilkan Datuk Aznil Hj Nawawi (Paknil) dan Sherry Alhadad yang digandingkan bersama sebagai pengacara utama.

Di Sebalik Karya Seni Yang Dinikmati, Ada Hasil Kerja Yang Wajar Dihargai

Jadi, berbalik kepada persoalan awal, kenapa drama popular sering ditayangkan pada waktu tertentu seperti pukul 7 malam?

Pemilihan jadual siaran boleh membantu sesebuah rancangan menemukan penonton sasarannya, tetapi kejayaan karya itu juga bergantung kepada kualiti kandungan serta usaha mereka yang terlibat dalam penghasilannya.

Bermula dengan penulis yang mencipta jalan cerita, pelakon yang menghidupkan watak, sehinggalah kepada kru produksi yang memastikan setiap babak berjalan lancar, semuanya mempunyai peranan tersendiri.

Begitu juga dengan penggiat radio, berita dan media baharu yang terus menghasilkan kandungan untuk masyarakat.

Sebab itulah, platform seperti ASA 2026 penting untuk meraikan bakat, kreativiti dan hasil kerja mereka yang menjadi sebahagian daripada perkembangan industri penyiaran negara.

Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti perkembangan ASA 2026 dan mengenali karya serta individu yang bakal menerima pengiktirafan pada edisi kali ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai kategori, pencalonan dan perkembangan terkini, layari portal rasmi https://www.anugerahseriangkasa.gov.my/.