Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kenderaan Layak Subsidi Diesel Di Sabah, Sarawak Dan Labuan Digesa Daftar Segera SKDS

armizan
Kredit: Facebook Armizan Mohd Ali

Kenderaan Layak Subsidi Diesel Di Sabah, Sarawak Dan Labuan Digesa Daftar Segera SKDS

Kenderaan sektor pengangkutan darat barangan dan awam di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan yang layak menerima subsidi diesel digesa untuk segera mendaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu penting bagi memastikan mereka terus menikmati subsidi diesel yang disediakan kerajaan.

Menurut beliau, penggunaan SKDS bersama fleet card akan diwajibkan bagi mendapatkan subsidi diesel untuk sektor pengangkutan darat barangan dan awam pada tarikh yang akan diumumkan kelak.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua syarikat yang mempunyai kenderaan di bawah 33 kategori yang layak supaya tidak menangguhkan permohonan bagi mengelakkan sebarang gangguan dalam penerimaan subsidi tersebut.

“Melalui SKDS, syarikat yang layak akan menerima subsidi diesel menerusi mekanisme fleet card pada kadar RM2.15 seliter bagi sektor pengangkutan darat barangan dan RM1.88 seliter bagi sektor pengangkutan darat awam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Fleet Card SmartPay Petronas kepada sebahagian syarikat pengangkutan darat barangan yang telah mendapat kelulusan pendaftaran SKDS di Kepayan, Sabah.

Menurut Armizan, pendaftaran SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan telah dibuka sejak 4 Mei lalu.

Manakala, sektor pengangkutan darat awam pula telah menikmati kemudahan subsidi bersasar itu sejak Jun 2024.

Sehingga 14 Jun 2026, sebanyak 8,060 syarikat melibatkan 29,631 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS di tiga wilayah tersebut.

Daripada jumlah itu, Sabah merekodkan 3,922 syarikat dengan 14,415 kenderaan, diikuti Sarawak sebanyak 3,869 syarikat melibatkan 14,447 kenderaan.

Sementara itu, Labuan pula mencatatkan 269 syarikat dengan 769 kenderaan.

Armizan berkata, peluasan SKDS merupakan antara langkah kerajaan untuk memperkukuh pemantauan serta penguatkuasaan subsidi diesel secara digital.

Katanya, ia bagi memastikan bantuan sampai kepada kumpulan sasar selain mengurangkan ketirisan.

Tambah beliau, penggunaan fleet card juga membolehkan pemantauan penggunaan diesel bersubsidi dilakukan dengan lebih berkesan.

“Ia sekali gus dapat mengekang aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan penyalahgunaan subsidi oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk warga asing dan pendatang tanpa izin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan membelanjakan kira-kira RM2 bilion setahun bagi subsidi diesel di Sabah dan Sarawak sepanjang tahun lalu.

Bagaimanapun, jumlah itu dilaporkan terus meningkat tahun ini susulan krisis tenaga global yang tercetus akibat konflik di Asia Barat.

Menurutnya, bagi Januari dan Februari 2026, subsidi diesel yang ditanggung kerajaan masing-masing berjumlah RM103 juta dan RM106 juta.

Namun selepas konflik bermula pada 28 Februari lalu, jumlah subsidi melonjak kepada RM563 juta pada Mac dan RM647 juta pada April.

Secara keseluruhan, jumlah subsidi diesel yang ditanggung kerajaan bagi Sabah dan Sarawak bagi tempoh Januari hingga April 2026 telah mencecah RM1.4 bilion.

Armizan menegaskan kerajaan akan terus menanggung peningkatan kos subsidi diesel selagi harga minyak dunia kekal tinggi dan krisis tenaga berterusan.

Katanya, kerajaan kekal komited menyalurkan subsidi diesel secara bersasar kepada rakyat dan industri bagi membantu menangani peningkatan kos sara hidup serta menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa penggunaan wajib SKDS dan fleet card bagi sektor pengangkutan darat di Sabah, Sarawak dan Labuan akan dikuatkuasakan pada satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Sehubungan itu, syarikat yang layak digesa membuat permohonan segera melalui portal MySubsidi dan tidak menunggu sehingga saat akhir.

Di Sabah, syarikat minyak yang terlibat dalam pelaksanaan SKDS ialah Petronas, Shell dan Petron.

Sumber:KPDN