Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Keputusan Tidak Teruskan Empat Pertuduhan Terhadap Muhyiddin Penilaian Profesional - AGC

Empat Pertuduhan Terhadap Muhyiddin
Kredit: Bernama

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Keputusan untuk tidak meneruskan empat pertuduhan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Bukhary Equity Sdn Bhd dibuat berdasarkan penilaian profesional terhadap keterangan dan kebolehbuktian kes serta kepentingan keseluruhan pendakwaan.

Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan keputusan berkenaan tidak bermaksud pertuduhan itu telah dibuat tanpa asas dan tidak boleh ditafsirkan sebagai suatu dapatan bahawa transaksi-transaksi yang menjadi subjek siasatan tidak berlaku.

Menurut AGC, keputusan pendakwaan boleh dan perlu dinilai semula apabila keseluruhan keterangan, kebolehterimaan keterangan, kredibiliti saksi dan implikasi terhadap prosiding lain dinilai secara menyeluruh dan ia mesti dibuat berdasarkan undang-undang, keterangan dan kepentingan pentadbiran keadilan.

“Penilaian itu menunjukkan bahawa meneruskan pertuduhan-pertuduhan tersebut membawa kepada risiko litigasi yang nyata, termasuk risiko menjejaskan strategi serta pembuktian pertuduhan-pertuduhan lain yang masih dihadapi oleh tertuduh.

“Dalam keadaan tersebut, pihak pendakwaan perlu melihat kepentingan keseluruhan kes dan bukannya mempertahankan satu pertuduhan secara terasing,” menurut AGC dalam kenyataan.

AGC memaklumkan tugas pendakwa raya bukan untuk mempertahankan sesuatu pertuduhan pada apa jua keadaan tetapi memastikan hanya pertuduhan yang mempunyai asas keterangan yang mencukupi dan boleh dipertahankan di mahkamah sahaja diteruskan.

“Setelah mengambil kira keseluruhan faktor tersebut, jabatan ini berpendirian bahawa meneruskan pertuduhan-pertuduhan tersebut bukan lagi suatu langkah pendakwaan yang wajar dan berhemat.

“Bagaimanapun, pendakwaan melibatkan tiga lagi pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] ke atas tertuduh diteruskan,”menurut kenyataan itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Noor Ruwena Md Nurdin hari ini melepaskan dan membebaskan Muhyiddin daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan RM200 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama selepas pihak pendakwaan memaklumkan tidak akan meneruskan kes terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu yang berkaitan dengan Bukhary Equity Sdn Bhd.

Muhyiddin, 79, berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti Bersatu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Azman Yusoff berkaitan Projek Jana Wibawa.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes Muhyiddin telah menutup kesnya hari ini selepas memanggil 29 saksi pendakwaan.