Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kerajaan Pahang Kesan Sindiket Tipu Permohonan Tanah Di Bentong

BENTONG
Kredit: Bernama

Kerajaan Pahang Kesan Sindiket Tipu Permohonan Tanah Di Bentong

Kerajaan Negeri Pahang mengesan kegiatan sindiket yang didakwa memperdaya orang ramai dengan menawarkan urusan pemberimilikan tanah kerajaan di Bentong secara tidak sah.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sindiket terbabit dipercayai meminta individu yang berminat membuat bayaran serta menandatangani dokumen sebelum proses sebenar permohonan tanah dilaksanakan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang tidak pernah melantik mana-mana individu, ejen atau syarikat untuk menguruskan pemberimilikan tanah milik kerajaan di luar prosedur yang ditetapkan mengikut undang-undang.

"Kerajaan negeri memandang serius kegiatan ini dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba memperdaya rakyat atau menyalahgunakan nama Kerajaan Negeri Pahang.

"Tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Wan Rosdy mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang bayaran, menandatangani dokumen atau menjalankan urusan berkaitan tanah tanpa mendapatkan pengesahan daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang atau Pejabat Daerah dan Tanah yang berkaitan.

Menurut beliau, langkah semakan awal amat penting bagi mengelakkan orang ramai menjadi mangsa penipuan yang menggunakan nama kerajaan negeri.

Beliau turut menggesa mana-mana individu yang percaya mereka telah menjadi mangsa sindiket berkenaan supaya segera membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan dan tindakan lanjut dijalankan.

Katanya, Kerajaan Negeri Pahang akan terus memastikan setiap urusan pentadbiran tanah dilaksanakan secara telus, berintegriti serta mematuhi segala peruntukan undang-undang.

"Semak dahulu, jangan mudah percaya dan jangan sesekali menjadi mangsa penipuan," ujarnya.