Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kerajaan Perhalusi Pindaan Akta, Cadang Denda Curi Kabel Rel Sehingga RM100,000 - Hasbi
KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Kerajaan sedang memperhalusi pindaan undang-undang berkaitan pengangkutan rel bagi mengenakan hukuman lebih berat dengan kadar denda sehingga RM100,000 terhadap penjenayah yang menceroboh dan mencuri kabel fasiliti rel negara.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata cadangan menaikkan kadar denda daripada hanya RM1,000 yang diperuntukkan ketika ini dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.
“Kita akan meminda undang-undang ini sampai mencecah RM100,000 setiap kesalahan. Ia dalam proses dan insya-Allah mungkin hujung tahun ini dalam sesi seterusnya akan dibawa ke dalam Dewan ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berhubung langkah mitigasi kerajaan bagi menangani gangguan perjalanan akibat kecurian kabel dan memastikan pengangkutan awam terjamin.
Hasbi berkata pindaan undang-undang itu amat mendesak memandangkan hukuman sedia ada disifatkan terlalu ringan berbanding kesan kerosakan serta kelewatan operasi tren yang terpaksa ditanggung pengendalinya.
Beliau berkata langkah itu turut didorong lonjakan kes kecurian kabel yang mencatatkan nilai kerugian keseluruhan mencecah RM50 juta merentasi rangkaian Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Prasarana Malaysia Berhad dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Hasbi berkata sebanyak 71 kes kecurian kabel direkodkan di sepanjang jajaran projek ECRL dengan anggaran kerugian RM4.06 juta, manakala 13 kes kecurian serta kerosakan peralatan dan bahan lain berkaitan sistem mengakibatkan kerugian sebanyak RM0.69 juta.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kerugian RM4.75 juta. Walaupun ECRL masih berada dalam fasa pembinaan dan belum melibatkan gangguan perjalanan kepada pengguna, insiden tersebut berpotensi menjejaskan jadual pelaksanaan projek, termasuk kerja-kerja pemasangan, pengujian, pentauliahan dan persediaan operasi,” katanya.
Bagi memperkukuh kawalan keselamatan di lapangan, Hasbi berkata kerajaan kini dalam proses memasang 1,146 unit kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang jajaran landasan dari Johor hingga ke utara tanah air.
Selain itu, beliau berkata KTMB turut memperoleh 20 unit motosikal scrambler untuk kegunaan polis bantuan memperketat rondaan 24 jam, di samping melaksanakan kawalan fizikal seperti penutupan lurang berkeselamatan tinggi dan penggunaan anjing pengesan (K9).