Malaysia sedang berada di peringkat akhir meneliti tiga opsyen sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM) susulan pembatalan permit eskport Naval Strike Missile (NSM) oleh Kerajaan Norway.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan, ketiga-tiga opsyen berkenaan dikemukakan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan pemilihan mengambil kira keperluan operasi, kesesuaian integrasi dengan kapal, kos serta tempoh perolehan.
“Keputusan muktamad akan dibuat setelah opsyen dipersetujui dan perjanjian perolehan dimeterai,” menurut MINDEF dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) di Dewan Rakyat, semalam.
Kerajaan Teliti Tiga Opsyen Peluru Berpandu

Ku Abd Rahman bertanya kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai status semasa dan jadual penyerahan lima LCS serta langkah kerajaan mendapatkan sistem peluru berpandu NSM dari negara lain.
Dalam perkembangan berkaitan, MINDEF memaklumkan bahawa pembinan lima Kapal Tempur Pesisir (LCS) untuk TLDM mencapai 80.72 peratus setakat 25 September 2026, berbanding sasaran 89.91 peratus, dengan varians kelewatan sebanyak 9.19 peratus.
Menurutnya, jadual penyerahan terkini yang telah dijamin oleh pihak kontraktor, Lumut Naval Shipyard (LUNAS) , menetapkan LCS pertama pada April 2027, diikuti kapal kedua pada Ogos 2027 dan kapal ketiga pada Disember tahun sama.
Manakala, LCS keempat pula dijadualkan diserahkan pada Ogos 2028 dan kapal kelima pada April 2026.
“Bagi LCS pertama atau KD Maharaja Lela khususnya, kapal kini berada dalam fasa ujian laut di peringkat limbungan (Sea Trial), selepas selesai beberapa ujian penerimaan di limbungan (Harbour Acceptance Trial), termasuk ujian jentera utama, sistem jana kuasa dan pendorongan.
“Fasa ini bertujuan menguji serta mengesahkan prestasi dan keupayaan sistem kapal sebelum Ujian Penerimaan di Laut (Sea Acceptance Trial – SAT) dilaksanakan bersama TLDM,” maklumnya.

