Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kes Gaduh Curi Burung: Dua Individu Ditahan Bantu Siasatan

Syed Faisal Sayed Muhammad
Kredit Buletin 9

Kes Gaduh Curi Burung: Dua Individu Ditahan Bantu Siasatan

Polis telah menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan yang melibatkan sekumpulan lelaki yang didakwa berpunca dari kecurian seekor burung bernilai RM 10,000 di Kampung Pantai Kubor, lapor Utusan Malaysia.

Dua suspek yang masing-masing berusia antara 38 dan 44 tahun ditahan pada pukul 8.33 malam selepas polis menerima laporan berhubung insiden itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, penangkapan kedua suspek itu bertujuan untuk membantu siasatan berhubung insiden tersebut.

Menurutnya lagi, polis juga telah mengenal pasti individu lain yang terbabit dalam kejadian tersebut.

“Kita akan melakukan tangkapan dalam masa terdekat. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” kata Mohd. Rosdi lagi dalam satu kenyataan.

Mohd. Rosdi juga memberitahu orang ramai sekiranya mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Asisten Mohd. Ridhuan Ismail di talian 019-2454124 atau 09-7752200.

Pada masa yang sama Mohd. Rosdi juga berpesan kepada masyarakat untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut.

Terdahulu, video tular pergaduhan itu menunjukkan sekumpulan individu bergaduh termasuk menggunakan peralatan seperti kayu kerana mendakwa seorang lelaki telah mencuri burung yang bernilai hampir RM 10,000.

Sumber: Utusan Malaysia