SHAH ALAM, 14 Sept (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepaskan dan membebaskan seorang remaja lelaki berumur 15 tahun daripada pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, tahun lepas.
Bagaimanapun, Hakim Adlin Abdul Majid memerintahkan remaja lelaki itu ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bermula dari hari ini sehingga selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.
Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, peguam Kitson Foong yang mewakili remaja itu berkata mahkamah mendapati anak guamnya tidak waras ketika kejadian itu berlaku.
“Penama (remaja lelaki) didapati tidak waras pada jam, tarikh dan masa kejadian dalam bulan Oktober (2025). Oleh itu, Seksyen 84 Kanun Keseksaan telah berjaya ditimbulkan oleh pembelaan. Mahkamah telah merekodkan keputusan pembebasan atas alasan tidak sempurna akal,” katanya dalam sidang media selepas prosiding keputusan kes berkenaan, hari ini.
Beliau berkata hasil dapatan mahkamah menunjukkan terdapat medical insanity yang membawa kepada pembuktian legal insanity terhadap anak guamnya.
Foong berkata mahkamah turut menerima keterangan Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta Dr Ian Lloyd Anthony yang mengesahkan remaja berkenaan menghidap skizofrenia yang serius dan agresif.
“Skizofrenia ini telah menyebabkan dia (remaja lelaki) bukan (menjadi) dirinya sendiri. Dia ingat dia dewa. Dia kata dia mendengar suara dan arahan seseorang dan perkara ini tidak dinafikan oleh pihak pendakwaan,” katanya.
Foong berkata remaja itu juga akan mula mendapat rawatan untuk gangguan dialaminya itu dan memaklumkan proses tersebut mengambil masa untuk sembuh.
Hakim, katanya, turut mengingatkan remaja terbabit supaya menyedari bahawa tindakannya telah menyebabkan kehilangan satu nyawa dan sentiasa menghargai peluang kedua yang diberikan kepadanya.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan mengemukakan 11 saksi, manakala dua saksi pembelaan termasuk remaja itu sendiri memberikan keterangan.
Mengikut pertuduhan, remaja berkenaan didakwa membunuh rakan sekolahnya di bilik tandas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama antara 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Okt 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta dikenakan hukuman sebat tidak lebih 12 sebatan jika tidak dihukum mati.
Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menetapkan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan kepada kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun.
Sebagai ganti, mahkamah boleh memerintahkan individu terbabit ditahan untuk tempoh yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong atau Raja atau Yang Dipertua Negeri sepertimana diperuntukkan di bawah Seksyen 97 (2) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Ahmad Iqbal Azman.
Memandangkan remaja itu masih di bawah umur, identitinya tidak boleh didedahkan atau dirakam gambarnya, manakala keseluruhan prosiding dijalankan secara tertutup.
Pada 12 Feb lepas, remaja berkenaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan semula dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Adlin.


