Keluarga perlu menjadi asas penting dalam memastikan anak-anak sentiasa diberi perhatian, didengar dan dilindungi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, aspek keselamatan dan kebajikan anak-anak di sekolah bukan sekadar bergantung kepada garis panduan, sebaliknya memerlukan tindakan serta pengawasan yang benar-benar berkesan.
“Sekolah, guru, pihak berkuasa pendidikan dan ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang tidak boleh dipisahkan.
“Moga anak-anak kita terus membesar dalam persekitaran yang selamat, sejahtera dan membina keyakinan untuk menjadi generasi masa hadapan yang kita banggakan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai gejala sosial membabitkan pelajar sekolah yang semakin membimbangkan.
Menurut Anwar, keselamatan anak-anak merupakan tanggungjawab bersama dan semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan mereka berada dalam persekitaran yang selamat.
Terdahulu, media melaporkan pelajar Tingkatan Empat, Irene Sofiya Mohd Khairoul Faisal, 16, ditemukan meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, Johor, Sabtu lalu.
Mangsa ditemukan neneknya yang datang ke sekolah berkenaan selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

