Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ketahui Butiran Lanjut Model Baharu Proton Saga MC3 2026
Selepas diperkenalkan di Sidang Kemuncak ASEAN, Proton kini mendedahkan lebih banyak butiran mengenai model baharu mereka, Proton Saga 2026 (MC3).
Model sedan mampu milik itu kini tampil dengan reka bentuk serba baharu, peningkatan teknologi serta enjin dan transmisi yang dipertingkatkan.
Ia dijangka dilancarkan secara rasmi hujung November ini, dengan perubahan ketara pada aspek reka bentuk luaran, selain menawarkan kecekapan bahan api yang lebih baik.
Menurut Paul Tan’s Automotive News, imej rasmi yang dikeluarkan Proton memperlihatkan keseluruhan penampilan Saga baharu tanpa sebarang penyamaran.
Bahagian hadapannya kini lebih ‘garang’ dengan gril besar penuh lebar yang disertakan lampu hadapan LED projektor, pertama kali digunakan pada model Saga.
Lampu siang berbentuk L serta jalur krom “Ethereal Bow” menyambungkan kedua-dua lampu utama, menjadikan reka bentuk hadapan lebih futuristik.
Menariknya, corak pada gril diilhamkan daripada seni sulaman songket, menyerlahkan identiti tempatan dalam rekaan moden.
Bahagian bampar bawah kini lebih kemas dengan reka bentuk pengambilan udara yang disatukan sepenuhnya, sementara cermin sisi berwarna hitam diinspirasikan daripada reka bentuk Lotus Evora 400.
Selain itu, pegangan pintu turut mendapat sentuhan krom dan antena sirip jerung yang kini lebih ramping.
Di bahagian belakang, Saga MC3 menampilkan lampu belakang penuh lebar menyerupai Proton S70, disertai bampar bawah berwarna hitam tanpa corong udara palsu.

Rim aloi 15 inci rekaan baharu lapan jejari serta warna Space Grey turut melengkapkan gaya moden model ini.
Bahagian dalaman Proton Saga 2026 tampil dengan perubahan besar dengan reka bentuk papan pemuka mendatar dan corak beralun pada bahagian papan pemuka serta pintu.
Ciri paling mendapat perhatian ialah paparan skrin lebar 16 inci yang menggabungkan panel meter digital dan sistem infotainmen dalam satu unit.
Buat pertama kali dalam segmen A di Malaysia, Saga baharu menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara tanpa wayar.
Meski Proton masih belum mendedahkan saiz sebenar setiap paparan, reka bentuk keseluruhannya memperlihatkan penampilan yang lebih premium dan elegan, tambah Paul Tan’s Automotive News.
Proton mengesahkan bahawa Saga 2026 menggunakan enjin 1.5 liter Intelligent Green Technology (i-GT) empat silinder, iaitu versi tanpa turbo daripada enjin X50 facelift.
Enjin ini digandingkan dengan transmisi CVT yang dibangunkan bersama Punch Powertrain, yang kini mempunyai kilang baharu di Tanjung Malim.
Menurut Proton, gabungan enjin dan transmisi ini mampu mencapai penggunaan bahan api 4.9 liter bagi setiap 100 kilometer berdasarkan kitaran pemanduan Malaysia (MDC). Ia hampir menyamai kecekapan Perodua Bezza 1.3 (4.8L/100km), lapor Paul Tan’s Automotive News.
Dokumen dalaman turut menunjukkan transmisi CVT hanya akan ditawarkan untuk varian Premium. Sementara varian lain kekal menggunakan kotak gear automatik empat kelajuan Aisin.
Sistem seni bina elektronik yang diperbaharui membolehkan Saga MC3 menampung lebih banyak ciri keselamatan moden.

Ini termasuk enam beg udara dan beberapa fungsi bantuan pemandu (ADAS) seperti:
Brek kecemasan automatik (AEB)
Amaran keluar laluan (LDW)
Pemantauan titik buta (BSM)
Amaran pelanggaran belakang
Amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
Amaran kenderaan hadapan bergerak
Amaran pintu terbuka
Lampu tinggi automatik
Jelas Paul Tan’s Automotive News, ciri-ciri ini dijangka hanya disediakan untuk varian Premium, manakala varian Standard dan Executive dijangka dilengkapi dua beg udara tanpa ADAS.
Walaupun dipertingkatkan dengan keluli bertekanan tinggi pada struktur utama, Saga baharu masih mengekalkan penarafan empat bintang ASEAN NCAP. Namun, berdasarkan protokol baharu 2021-2025 yang lebih ketat.
Proton Saga MC3 dibina menggunakan platform generasi baharu yang dinamakan Advanced Modular Architecture (AMA), iaitu versi yang telah dipertingkat daripada platform asal Saga.
Menurut Proton, platform ini fleksibel, boleh dikembangkan dan bersedia untuk masa depan, selain direka untuk memenuhi piawaian antarabangsa dari segi keselamatan, prestasi dan kecekapan.

Menariknya, Proton turut mengesahkan bahawa hak harta intelek (IP) bagi platform AMA ini dimiliki sepenuhnya oleh syarikat sendiri, sekali gus menunjukkan peningkatan keupayaan kejuruteraan anak tempatan.
Selain itu, Proton juga terbuka untuk bekerjasama dengan kumpulan Geely, yang berpotensi menjadikan Malaysia sebagai hab kejuruteraan serantau bagi pembangunan model masa depan.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Zhang Qiang, berkata model baharu ini menandakan evolusi penting dalam sejarah Proton.
“Proton Saga serba baharu ini bukan sekadar bab seterusnya dalam legasi sedan kami, tetapi hasil bertahun-tahun pembangunan oleh jurutera dan pereka tempatan, disokong oleh kerjasama global.
“Ini membuktikan transformasi Proton daripada pengeluar kereta nasional kepada inovator automotif bertaraf global, digerakkan sepenuhnya oleh bakat tempatan,” katanya.
BACA: Abang Johari Dianugerah Pingat The Order Of The Rising Sun
Sumber: Paul Tan’s Automotive News