Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kiswah Kaabah Bertukar Baharu, Beruntung Jemaah Dapat Saksikan Depan Mata

Kiswah Kaabah
Kredit: Haramain Info

Kiswah Kaabah Bertukar Baharu, Beruntung Jemaah Dapat Saksikan Depan Mata

Kiblat bagi umat Islam, Kaabah, kini diselubungi dengan kain Kiswah yang baharu.

Memetik Saudi Gazette, upacara tahunan menggantikan Kiswah lama dengan yang baharu berlangsung dalam suasana penuh bersejarah ketika memasuki 1 Muharam 1448 Hijrah.

Penggantian ini juga sekali gus mencerminkan keprihatinan Arab Saudi terhadap tempat paling suci di dunia serta menampilkan kecemerlangan dan kepakaran negara itu dalam menghasilkan antara karya seni Islam teragung.

Menteri Haji dan Umrah, Tawfiq Al-Rabiah, antara yang hadir menyaksikan upacara tersebut.

Penggantian Kiswah bukan sekadar acara tahunan yang diselaraskan dengan teliti, sebaliknya merupakan kisah kejayaan negara yang dihasilkan oleh 150 pembuat dan tukang mahir Saudi.

Mereka menggunakan kepakaran dan kemahiran sepanjang tempoh 11 bulan untuk menghasilkan 47 bahagian sutera hitam mewah yang disulam dengan 30 ayat al-Quran menggunakan benang perak bersadur emas 24 karat.

Kiswah tersebut mempunyai berat keseluruhan 1,410 kilogram.

Kiswah baharu itu melambangkan gabungan harmoni antara seni Islam autentik dengan kemahiran pertukangan moden Arab Saudi.

Di sebalik pembuatannya, seni khat Arab kekal menjadi elemen utama sebagai simbol al-Quran, bahasa Arab dan warisan tamadun Islam yang kaya.

Proses penghasilan Kiswah melalui tujuh peringkat yang teliti, iaitu penyahgaraman air, pencucian sutera, penenunan, pencetakan, penyulaman, pemasangan dan pemeriksaan.

Kiswah itu kemudian dibawa menggunakan treler khas bagi memelihara warisan Islam yang unik tersebut sebelum tiba di kawasan Mataf di Masjidil Haram.

Detik-detik ketika proses penggantian itu turut tular di media sosial.

Ia turut disaksikan oleh para jemaah yang melaksanakan ibadah di Tanah Suci itu, meskipun kawasan berhampiran Kaabah dikawal bagi memastikan proses pemasangan berjalan lancar.