Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KKM Batal Notifikasi Produk Krim Dikesan Mengandungi Racun Berjadual

kkm
Kredit: Bernama

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM tidak lagi membenarkan penjualan produk kosmetik Remy Laure Soothing Cream yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Menerusi kenyataan itu, KKM memaklumkan produk berkenaan didapati mengandungi hidrokuinon, justeru notifikasi kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

KKM Batal Jualan Produk Krim Remy Laure Soothing Cream

“Produk yang mengandungi bahan ini adalah diklasifikasikan sebagai ubat dan perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum boleh dipasarkan.

“Ubat yang mengandungi hidrokuinon hanya boleh digunakan atas nasihat dan pemantauan ahli profesional kesihatan.

“Penggunaan tanpa pengawasan yang sesuai boleh menyebabkan kesan sampingan antaranya perubahan warna kulit yang tidak diingini dan kulit menjadi hipersensitif.

“Ia boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit,” maklum KKM.

Tambah KKM, penjualan dan pengedaran kosmetik tersebut adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Sementara itu, penjual dan pengedar kosmetik berkenaan perlu menghentikan penjualan dan pengedaran kosmetik itu dengan serta-merta.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” maklumnya lagi.

Sehubungan itu, orang awam yang sedang menggunakan kosmetik itu dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA www.npra.gov.my.