Kuala Lumpur Seni & STEM Festival 2026 (KLSSF 2026) kembali untuk edisi kedua dengan menghimpunkan pelbagai aktiviti sains, teknologi, seni dan warisan dalam satu festival percuma yang berlangsung selama tiga hari di Esplanad KLCC.
Dianjurkan oleh Petrosains dan Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), festival itu berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam, dengan pelbagai aktiviti interaktif yang sesuai untuk kanak-kanak, keluarga, pelajar, komuniti setempat serta pelancong.
Festival bertemakan “Where Arts, Heritage & Science Unite” itu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II), Tourism Malaysia, Samuel Lee Thai Hung, dalam satu majlis yang turut dihadiri wakil Petrosains, DFP, rakan strategik dan organisasi yang mengambil bahagian.
KLSSF 2026 mengetengahkan gabungan seni, warisan, sains dan inovasi menerusi pelbagai aktiviti praktikal, persembahan serta pengalaman interaktif.
Pengunjung berpeluang melihat bagaimana sains dan teknologi berkait rapat dengan kehidupan seharian, selain meneroka kekayaan budaya Malaysia melalui persembahan seni dan warisan.
Penganjuran festival itu juga menyokong aspirasi Visit Malaysia 2026–2027 dengan mengetengahkan pengalaman yang mencerminkan identiti Malaysia di salah satu lokasi ikonik negara, KLCC.
Aktiviti STEM Dan AI Tarik Perhatian Pengunjung
Antara tarikan utama di reruai Petrosains ialah pelbagai aktiviti interaktif seperti Animation Station, AI Music, AI Deviation dan Colour Sequence yang menggabungkan elemen STEM dan kecerdasan buatan (AI).
Pengunjung turut berpeluang menyaksikan demonstrasi sains secara langsung serta bertemu RoboBud, robot yang membuat penampilan istimewa di beberapa lokasi sepanjang festival.
Aktiviti berkenaan memberi peluang kepada pengunjung, khususnya golongan muda, untuk mengenali STEM dan AI menerusi pendekatan yang lebih santai, interaktif dan menyeronokkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd, Ezarisma Azni Mohamad, berkata KLSSF menjadi ruang untuk masyarakat meneroka sains dalam suasana yang kreatif dan dekat dengan kehidupan seharian.
Beliau berkata gabungan STEM, seni dan warisan turut membantu golongan muda memahami bahawa inovasi bukan sekadar berkaitan teknologi, sebaliknya turut melibatkan kreativiti dan cara manusia menghasilkan idea baharu.
Persembahan Seni Dan Budaya Turut Meriahkan Festival
Selain aktiviti STEM, KLSSF 2026 turut menampilkan pelbagai persembahan yang mengetengahkan kepelbagaian seni dan budaya Malaysia.
Antaranya ialah Tarian Borneo, Opera Kantonis, Wayang Kulit Star Wars, Urumee Melam, Boria, Caklempong, persembahan Sape serta Kuartet Orkestra Filharmonik Malaysia.
Pengunjung juga berpeluang menyertai Bengkel Dikir Barat dan bengkel pembuatan Wau Sobek.
Bagi memeriahkan pentas utama, festival itu turut menampilkan persembahan oleh ALPHA, Wani Kayrie, Mimi Fly, Hussain, Amir Masdi dan Permata Seni Koir.
Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Filharmonik PETRONAS, Siti Azlina Abdul Latif, berkata kerjasama antara seni dan STEM menunjukkan kedua-dua bidang tersebut mampu bergerak seiring dalam membentuk masyarakat yang seimbang dari segi kemajuan saintifik dan kekayaan budaya.
Pelbagai Aktiviti Untuk Seisi Keluarga
Festival itu turut menyediakan pelbagai aktiviti yang boleh disertai pengunjung daripada pelbagai peringkat umur.
Antaranya termasuk permainan interaktif, kuiz, cabaran mini, sesi bertemu maskot dan aktiviti mengumpul cop festival.
Pendekatan tersebut menjadikan KLSSF bukan sahaja sebagai platform pembelajaran, malah ruang untuk keluarga meluangkan masa bersama sambil meneroka ilmu, seni dan budaya.
Disokong Pelbagai Rakan Strategik
Penganjuran KLSSF 2026 turut mendapat sokongan pelbagai organisasi yang membantu memperkayakan pengalaman pengunjung.
TODAK tampil sebagai Rakan Platinum, manakala TIME merupakan Rakan Internet Rasmi Festival.
Sementara itu, Yayasan PETRONAS bertindak sebagai Rakan Emas dan Yayasan Hasanah sebagai Rakan Seni dan Warisan.
Festival berkenaan turut mendapat sokongan Tupai AI, Bunglow 37, GALERI PETRONAS, PETRONITA, KLCC Group, KL Hop-On Hop-Off, Inside Scoop, Spritzer, Pusat Sains Negara, Akademi Sains Malaysia, PUSAKA, Aquaria KLCC dan Malaysian Philharmonic Orchestra.
Sokongan turut diberikan oleh Tourism Malaysia, Kementerian Pendidikan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan PETRONAS.
Kerjasama pelbagai pihak itu membantu menjadikan KLSSF sebagai platform yang menggabungkan pembelajaran, budaya, kreativiti dan hiburan dalam satu pengalaman yang terbuka kepada masyarakat.
KLCC Jadi Pentas Pengalaman Malaysia
Berlangsung di kawasan ikonik KLCC, festival itu turut memberikan peluang kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa untuk mengenali Malaysia melalui perspektif sains, budaya, warisan dan seni.
Esplanad KLCC berubah menjadi ruang terbuka yang menghimpunkan pelbagai aktiviti serta persembahan sepanjang tiga hari penganjuran.
Edisi kedua itu menyusuli kejayaan KLSSF 2025 yang menarik hampir 50,000 pengunjung, sekali gus menunjukkan sambutan terhadap festival yang menggabungkan seni dan STEM tersebut.
Dengan kemasukan percuma, KLSSF 2026 menjadi antara program yang menawarkan pengalaman pembelajaran dan hiburan untuk seisi keluarga sempena Visit Malaysia 2026–2027.
