Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 7.3 peratus yang melibatkan agihan berjumlah RM126.2 juta kepada lebih 154,000 anggotanya bagi 2025.
Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Tentera ke-60 di sini, hari ini.
Beliau berkata koperasi itu mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM278 juta tahun lepas berbanding RM253 juta pada 2024, manakala keuntungan sebelum cukai dan zakat mencecah RM153 juta.
“Saya amat berbangga dengan pencapaian Koperasi Tentera yang mampu mengekalkan status sebagai Koperasi Premier dengan aset melebihi RM3 bilion.
“Apa yang lebih membanggakan, segala pencapaian ini lahir daripada kepercayaan yang dibina selama enam dekad hasil komitmen anggota yang terus memilih untuk bergerak maju bersama Koperasi Tentera,” katanya.
Beliau berkata koperasi tersebut disifatkan sebagai aset strategik warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dibina atas asas kepercayaan, kebersamaan dan tanggungjawab untuk menjaga kebajikan anggotanya.
“Sesungguhnya, kejayaan sesebuah koperasi tidak hanya diukur melalui angka keuntungan semata-mata, tetapi sejauh mana manfaat dan hasil kejayaan tersebut dapat dikembalikan kepada para anggotanya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Tentera Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Zaidan Atan berkata peningkatan pendapatan koperasi itu didorong pertumbuhan segmen pembiayaan peribadi, pembiayaan perniagaan kecil dan sederhana serta Ar-Rahnu selain turut disokong peningkatan pendapatan operasi lain seperti aktiviti insurans dan pelaburan.
Beliau berkata bagi aspek keanggotaan, Koperasi Tentera merekodkan sebanyak 154,797 anggota setakat Disember 2025, yang merangkumi 117,301 anggota yang masih berkhidmat, 9,618 kakitangan awam, serta 27,878 pesara tentera.
Beliau berkata pencapaian koperasi itu menjelang 66 tahun usia penubuhannya membuktikan keupayaan entiti berkenaan sebagai peneraju utama dalam gerakan koperasi di negara ini.
"Untuk makluman semua, Koperasi Tentera masih mengekalkan statusnya sebagai sebuah Koperasi Premier dalam senarai Profil 100 Koperasi Terbaik di Malaysia yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia buat tahun keenam berturut-turut," katanya.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Panglima Angkatan Tentera merangkap Yang Dipertua Koperasi Tentera Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman.